Bismillahirahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt.
Walaubagaimanapun, hari ini saya tergerak hati ingin tahu tentang hukum penalti lewat bayar.Apakah batasannya, apakah pendapat ulama kontemporari tentangnya pada zaman ini memandangkan, bila berlaku kelewatan pembayaran, penjual akan menanggung kerugian pada masa-masa tersebut. Dan kesannya keapda saya yang mengendalikan dokumen tersebut.
"
Ganti rugi atau compensation yang dikenakan oleh bank Islam adalah terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata"
"Para ulama kontemporari terbahagi kepada tiga kumpulan menentukan hukum penalti akibat lewat pembayaran hutang sebagaimana yang terdapat di bank-bank Islam"
Kumpulan Pertama : Harus dikenakan penalti dalam bentuk wang
Mereka seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Bin Mani', Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan, dan Fatwa Persidangan Dallah Al-Barakah [1] dan majoriti Majlis Syariah di bank-bank Islam di Malaysia.
Menurut kumpulan ini wang penalti itu pula boleh dimanfaatkan oleh bank Islam. Keharusan ini berdasarkan beberapa hujjah antaranya :-
· ‘Maslahat Mursalat' dan tindakan mengenakan gantirugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan mumatil yang disebut oleh Nabi SAW:
مطل الغني ظلم
Ertinya: "Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman." (Riwayat Al- Bukhari, no 2167, 2/799)
لي الواجد ظلم يحل عقوبته وعرضه
Erti : bagi orang berkemampuan dan melewatkkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka hukuman (Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban : Sohih)
Kedua-dua hadis ini menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan.
•· Qiyas kepada hukuman terhadap perampas harta orang lain. Sekiranya terdapat seorang mencuri atau merampas atau enggan memulangkan harta mangsa yang disimpannya, mangsa diberi hak untuk mengambil mana-mana harta pencuri, perampas atau penyimpan bagi mengembalikan haknya yang dicabuli. Mereka juga bertanggungjawab atas harta mangsa sepanjang tempoh tersebut, justeru sebarang kerugian yang ditanggung oleh mangsa turut akan dituntut dari pencuri, perampas dan penyimpan.
Hal ini dikira sama dengan pelanggan yang berjanji membayar hutang bank Islam pada tempoh tertentu, tetapi melanggar janjinya. sebagai tindakan susulan, bank dibenarkan bertindak dengan mengenakan penalti seperti hukuman merampas.
•· Hukuman ta'zir (denda) ke atas pesalah seperti orang berduit tetapi sengaja melewatkan bayaran hutang terpulang kepada ijtihad hakim atau pemerintah, tanpa terhad kepada hukuman dalam bentuk tertentu sahaja, hukuman boleh datang dalam bentuk denda kewangan dan juga lain-lainnya.
Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya [2]. Ringkasnya, hukuman seperti disenarai hitamkan nama, dirampas passportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang adalah dibenarkan oleh Islam.
Kumpulan Kedua :Mengharuskan penalti bentuk wang tetapi disalur kepada kebajikan.
Kumpulan ini seperti kumpulan pertama dari sudut mengharuskan penalti bentuk wang dikenakan ke atas pelanggan yang lewat membayar hutangnya, namun semua jumlah yang terkumpul dari penalty ini TIDAK BOLEH dimanfaatkan oleh pihak bank. Semua jumlah tersebut mestilah diberikan kepada kebajikan awam atau faqir miskin.
Antara yang berpegang dengan fatwa ini adalah Dr Abd Sattar Abu Ghuddah, dan ia turut diputuskan oleh Majlis Syariah AAOIFI bagi produk Murabahah. Fatwa AOOIFI menyatakan :-
يجوز أن ينص في عقود المداينات : مثل المرابحة على التزام المدين عند المماطلة بالتصدق بمبلغ أو نسبة بشرط أن يصرف ذلك في وجوه البر
Erti : Harus dimasukkan dalam mana-mana kontrak yang bersifat hutang seperti Murabahah , bahawa orang yang berhutang di ketika berlaku kelewatan bayaran hutang sedangkan ia mampu, dia akan menyedeqahkan satu jumlah atau nisbah tertentu dengan syarat jumlah tersebut diserahkan kepada kebajikan. [3]
Pandangan ini dipegang oleh majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Hujah bagi kumpulan ini adalah :-
•· Konsep sedeqah duit (ta'widh atau compensation) kepada badan kebajikan atau faqir miskin adalah dibuat atas konsep Iltizam at-tabarru' yang disebut di dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Sebagaimana kata Imam Malik :
والمعروف من أوجبه على نفسه لزمه
Erti : Dan perkara yang baik (ma'ruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikannya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya" [4]
Ia bermakna semua pelanggan memberikan komitmen jika ia gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dipersetujui. Ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.
•· Riba hanya akan berlaku apabila pemberi pinjam (atau dalam konteks kontrak jual beli) penjual sendiri yang mengambil wang penalty tadi, yang hutang pelanggan bertambah kerana lewat bayar. Iaitu Riba al-Jahiliyah dan juga an-Nasiah.
Namun demikian jika jumlah penalty diserahkan kepada pihak ketiga dan kebajikan, ia tidak lagi menjadi riba menurut kumpulan ulama ini.
Di kebanyakan bank Islam yang mengamalkan fatwa ini, jabatan Syariah dan majlis penasihat Syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis penasihat Syariah juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan ini. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta'widh akan terus masuk ke akaun khas seperti charitycontohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada charity kecuali setelah disahkan layak oleh majlis penasihat Syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa buah bank Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak mengehadkan penggunaan wang ta'widh (compensation) kepada faqir miskin sahaja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka sebagaimana kumpulan pertama. Perkara ini mungkin telah disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing.
Kumpulan ketiga : Penalti tidak harus sama sekali
Antara ulama yang terkuat mengempen pandangan ini adalah Dr Nazih Hammad, Dr Md Ali El-Gari dan lain-lain dengan pelbagai hujah juga. Hujjahnya adalah [5] :-
•· Penalti disebabkan lewat bayar adalah riba
•· Menolak konsep rampasan tadi kerana hujjah yang mengatakan pihak mangsa boleh mendapat untung dan manfaat kiranya ia mendapat hartanya kembali dalam waktu yang sepatutnya adalah andaian semata-mata. Terdapat kemungkinan besar juga dia tidak langsung memenafaatnya atau mungkin berpotensi untuk rugi jika diperolehi hartanya. Justeru menggunakan hujah ini tidak kukuh.
Kesimpulan
Setelah membaca dan merujuk hujjah-hujjah setiap kumpulan serta melihat kepada keadaan dan konteks semasa, saya cenderung kepada pandangan kumpulan kedua.
Pandangan kumpulan ketiga juga amat baik, namun, untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada antaranya yang sesuai manakala tidak sebahagian lainnya. Memandangkan lemah sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dewasa ini dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta'widh(gantirugi) akan dikenakan.
Bagi fatwa di Malaysia, isu ini dibawa ke persidangan ilmuan Syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusannya menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja ini, maka diharuskan mengenakan denda ta'widh dengan syarat ia adaah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. [6] Selain itu hanya kadarnya adalah 1 peratus sahaja dan ia tidak bersifat compounding.
Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah compounding iaitu penalti ini akan dimasukkan dalam jumlah pinjaman dan jika kena penalti lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalti. Ini zalim dan amat menindas.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
11 Feb 2009
Artikel tersebut banyak menyentuh secara spesifik tentang penalti yang dikenakan bank Islam. Tapi point yang perhatian saya adalah tentang masalah umat pada zaman sekarang...
"‘Maslahat Mursalat' dan tindakan mengenakan gantirugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang"
"Memandangkan lemah sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dewasa ini dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta'widh(gantirugi) akan dikenakan."
Sekadar nota untuk #mylegaldiary #syariahlaw
Semoga bermanfaat.
Wallahualam.