Bismillahirahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt.
Sempena Hari Wukuf di Arafah.Selamat berpuasa bagi mereka yang berpuasa.Selamat berwukuf bagi para haji dan hajjah.Semoga memperoleh haji yang mabrur.
Nak kongsikan di blog tentang sebuah puisi tentang Arafah.
Tanpa ‘Arafah haji tak menjadi
Para hujjaj membilang hari
‘Arafah bila lagi?
Bagai hilang sabar menanti.
Tetapi ‘Arafah bukan matlamat
Hanya wuquf, berhenti untuk cuba mengerti
Mencarai kejelasan
Dalam suluhan benderang siang
Agar segalanya tertayang terang
Di sini bermula sejarah insaniah
Setelah Adam diberi makrifah melebihi malaikah, turunlah ke bumi dengan misi khalifah
Lalu bertemu Hawwa’ di Arafah,
Medan ta’aruf, tanah mahabbah.
Insan khalifah Tuhan,
Tidak hanya mengenal kawan,
Juga mengecam lawan
Di bumi ini kita tidak sendirian
Iblis, syaitan bergentayangan mencari kesempatan
Memperdaya kehilangan iman
Di tanah A’rafah yang terdedah
Aku resah dalam rasa bersalah
Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui,
Di sini aku menjadi tahu diri
Kuakui semua dosa, tanpa kecuali
Aku ingin menepati erti
‘Arafah tempat mengiktiraf dosa yang dinafi
Andainya aku dalang wayang
Akan kuperikan ‘Arafah bak padang luas terbentang
Selejang unta berlari, selelah merpati terbang
Saujana mata memandang
‘Arafah padang tanpa halangan
Mungkinkah ia lambang kebebasan dan pembebasan
Yang memang didambakan setiap insan
Ya Tuhan, bebaskan aku dari api penyeksaan.
Tuhanku, Nabi-Mu memberitahu
Kau bangga melihat hamba datang bertamu
Dengan tubuh lusuh-lesu, kusut berdebu
Hilang peduli pada diri
Segalanya seperti tidak bererti
Kecuali Tuhan, Ilahi Rabbi
Hanya Dia, satu-satunya yang masih punya erti.
Tuhanku, lihatlah aku,
Hamba-Mu yang berambut kusut penuh debu
Perjalananku jauh beribu batu
terimalah aku sebagai tamu-Mu!
Mohon limpah barakah hari ‘Arafah!
SIDDIQ FADZIL
(Dipetik dari ‘Sebuah Antologi Puisi: Kesan dan Pesan dari Al Haramayn’,
Akademi Kajian Ketamadunan, 2015)
0 inspirasi naluri :-):
Post a Comment