8/31/10

Elak Tujuh Perkara Selepas Makan

BY humble.yat IN 2 comments

Petikan dari ANIS 09/2007

Sepanjang menjamah hidangan di Bulan Ramadhan mahupun di masa-masa akan datang, hargailah kesihatan diri dengan berusaha mengelakkan perkara-perkara di bawah ini;
  1. MEROKOK
 Jangan merokok selepas makan. Kajian pakar membuktikan bahawa menhisap sebatang rokok selepas makan menyamai menghisap 10 batang rokok. Justeru, risiko diserang kanser adalah tinggi.

 2. MAKAN BUAH


 Jangan makan buah sejurus selepas makan. Ini menyebabkan perut anda kembung. Sebaliknya makanlah buah satu atau dua jam sebelum atau selepas makan.

2. MINUM TEH

Jangan minum teh sejurus selepas makan kerana daun teh mengandungi kandungan asid yang tinggi.
Bahan ini menyebabkan kandungan protein di dalam makanan yang kita makan mengeras,lantas menyukarkan penghadaman.

3. LONGGARKAN SELUAR

  Jangan Longgarkan seluar/tali pinggang anda selepas makan. Tindakan sebegini akan menimbulkan masalah usus.

5. MANDI BERENDAM

Jangan mandi berendam selepas makan.Mandi berendam akan menyebabkan peningkatan aliran darah ke tangan, kaki dan badan.Ini mengakibatkan jumlah darah sekitar perut berkurangan lalu melemahkan sistem penghadaman.
6. BERJALAN KAKI
Jangan berjalan kaki sejurus selepas makan biarpun anda pernah mendengar orang berkata bahawa berjalan kaki selepas makan melanjutkan usia anda.Sebenarnya berjalan kaki sebaik selepas makan akan menyukarkan sistem penghadaman menyerap khasiat daripada makanan yang dimakan. Tunggulah sekurang-kurangya sejam selepas makan. Kemudian berjalanlah jika anda mahu.

 7. TIDUR


Jangan sesekali tidur sejurus selepas makan kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan sukar dihadam dengan sempurna. Tabiat suka tidur sejurus selepas makan akhirnya akan menyebabkan masalah usus. tidur menjadi resah kerana dibuai dengan pelbagai mimpi dan bangun dalam keadaan yang sangat letih.



8/30/10

"Cik Yat, Bila Saya Boleh Masuk Rumah Baru?"

BY humble.yat IN 2 comments


Hari Raya dah semakin hampir. Pejam celik pejam celik tinggal sepuluh hari sahaja lagi. Saya pasti di mana-mana pejabat pasti sibuk yang teramat untuk menghabiskan kesemua kerja yang diamanahkan. Tambah-tambah lagi nak dapat bonus raya.
Antara soalan-soalan yang sering diaju bertubi oleh anak guam saya, tambah-tambah bila nak raya seolah-olah tarikh raya merupakan tarikh luput mana-mana transaksi. Al-Maklumlah  kita akan bercuti panjang dan rasa bimbang timbul jika urusan-urusan mereka tertunggak.Saya faham semua itu.;

Antara soalan-soalan yang agak popular bila raya dah dekat.

"Cik Yati, saya dah tandatangan perjanjian, bila saya boleh dapat kunci rumah, dah nak raya ni?"

"Cik Yati, saya dah bayar duit baki beza, boleh saya masuk premis sekarang?"

"Cik Yati, saya dah sign dokumen-dokumen bank, bila boleh dapat kunci, ingat nak beraya di rumah baru tahun ini."

Tidak mengapa, saya pasti ramai pembeli-pembeli rumah di luar sana, tak sabar menanti untuk masuk ke rumah baru, menunggu kunci rumah baru umpama menunggu buah yang tak gugur. Suami isteri mula merancang untuk renovasi, beli perabot baru dan sebagainya.Anak-anak pula begitu seronok dan teruja untuk berpindah ke rumah baru. 

Oleh itu, sepanjang pengalaman saya, kunci rumah ataupun penyerahan milikan kosong akan dilakukan sebaik sahaja baki harga belian diserahkan kepada Pihak Penjual.Kebiasaannya terma ini dinyatakan secara jelas di dalam Perjanjian Jual Beli, melainkan Penjual bersetuju secara lisan untuk menyerahkan premis tersebut sebelum dia menerima Baki Harga Belian tanpa mengenakan apa-apa syarat..

Apa pula harga baki belian tu ye?Jangan keliru antara bayaran deposit, "earnest money", bayaran baki beza dan yuran guaman kerana semuanya adalah berbeza.

Contohnya;
  • Harga Jual Beli RM150,000-00
  • Bayaran Deposit (10% dari Harga Jual Beli) RM15,000-00
  • Jumlah pinjaman Bank RM100,000-00 (tidak termasuk Insurans dan tertakluk kepada kelayakan)
  • Bayaran Baki Beza = Jumlah Harga Jualbeli - (Jumlah Pinjaman Bank + Deposit)
                cth : RM150,000-00 tolak (RM100,000-00 +RM15,000-00) 
                     bersamaan RM150,000-00 tolak RM 115,000-00 
                     = RM35,000-00 adalah jumlah bayaran baki beza.

Biasanya Bayaran Baki Beza ini dikeluarkan melalui akaun 2 KWSP dan akaun simpanan .
Jadi, rancanglah perbelanjaan anda ye supaya senang di kemudian hari.

Sebagai peringatan, janganlah sesekali masuk dan membuat apa-apa "renovation" selagi penerimaan baki harga belian belum disahkan oleh pihak peguam yek. Nanti, tak pasal-pasal, terjadi permusuhan pula. Kami juga kena leraikan.Pening tau..he he.. 

Dalam Situasi Jual Beli rumah secara terus dengan Pemaju,, memang tidak dapat dinafikan berlaku sedikit kelewatan penerimaan kunci. Ini kerana sebelum Projek 100% disiapkan, Pemaju perlu mendapatkan C.F.O (Sijil Layak Menduduki) dari Majlis Perbandaran. dan biasanya proses ini mengambil masa dan bergantung kepada keadaan. Dan apa yang saya boleh nasihatkan, supaya para pembeli bersabar menunggu kunci rumah, dan pembeli ada hak untuk menuntut faedah lewat dari Pemaju melalui Tribunal mengikut terma-terma Perjanjian Jual Beli

"Cik, bila boleh dapat kunci rumah? Duit bank dah "start" bayar, duit sewa rumah kena bayar, runah tak siap lagi, rugilah saya macam ini, dua-dua kena bayar.Anak-anak lagi.. Tolonglah faham saya cik.." 
Suara-suara begini selalu kedengaran apabila kes projek lambat naik, projek terbengkalai. Adakalanya sampai dua tiga kali masuk Buletin Utama TV3, masih juga tak dapat kunci.

Jadi apa yang saya harapkan, pastikan pembeli mengetahui perjalanan jual beli dan hak-hak masing-masing ye..Jika Kurang faham, janagn malu bertanya dengan pegawai bertugas kerana ia melibatkan hak-hak adami untuk mendapatkan tempat kediaman.;-)




8/28/10

Saf Hadapan II

BY humble.yat IN , 3 comments


Sukar rupanya nak dapatkan saf hadapan kalau dah datang lambat. Tapi, malam itu rezeki saya walaupun agak terlewat sedikit berbanding malam-malam sebelum ini (akibat cari tempat letak kereta yang dah penuh).

Sebelum ini pernah saya ceritakan tentang saf hadapan. Tapi, kisah malam ini membuatkan saya rasa sangat bersyukur, terketar lutut saya ketika bersolat disebabkan kejadian yang tidak disangka.

Memang benar, golongan saf hadapan ni terdiri daripada warga emas yang bergelar "hajah". Cuma pada malam itu, terdetik di hati saya (ketika itu saya berada di saf yang ketiga), "kalaulah dapat saf depan, 'best' ni". Tiba-tiba dibukakan laluan untuk saya ke saf hadapan ibarat kisah Nabi Musa melalui laut yang terbelah dua ketika lari dari musuhnya. Memang saya tak lepaskan peluang dan berjemaah disitu.

Hendak dijadikan cerita, ketika saya bangun untuk bersolat sunat , "hajah" di sebelah kiri saya membentangkan kain putih berenda miliknya untuk saya sujud.

Subhanallah!Terhenti bacaan saya ketika itu, namun saya teruskan solat. Sebenarnya, tangan, lutut saya dah agak terketar kerana terkejut dengan pertolongan tersebut. Hanya kerana saya sujud antara dua sejadah, didatangkan pertolongan dari Nya supaya tempat sujud saya selesa.

Terima kasih Tuhan, kerana memberi kelebihan pada malam ini. Sangat bersyukur dan saya nukilkan di sini supaya saya akan ingat wajah "hajjah" tersebut ketika dia membentangkan kain putih miliknya.

Seusai salam, saya ucapkan terima kasih kepada makcik tersebut. Dalam hati agak segan, kerana golongan warga emas telah menolong warga belia muda..huhu isk...isk...

Milo Sponsor Moreh

BY humble.yat IN No comments



Sejurus selepas sunat rawatib isyak, "Assalamualaikum, di sini ada pengumuman ye, selepas kita terawih lapan rakaat dan 20 rakaat..."

Dalam hati, "aisy pakcik ni, takkan nak buat pengumuman baca doa qunut masa sembahyang witir, bagusnya nk ingatkan semua orang..."

Kita sambung balik pengumuman tadi ,"...ada moreh ditaja oleh dua van milo, ada air milo, aiskrim dan koko crunch untuk kanak-kanak, jangan lupa ambil yer..Sekian, terima kasih.."

Wah, perkembangan yang bagus ni, biasanya kalau moreh, yang ada hanyalah air teh dan kuih muih. Jarang moreh ditaja oleh pihak MILO.

Tapi, bila-fikir-fikir balik, jemaah yang datang kat masjid ni bukan calang-calang orang, semuanya dari kalangan orang yang berjaya dan berada, mungkin salah seorang dari jemaah tu yang 'sponsor'.

Bayangkan malam pertama terawih, ada jemaah saf belakang kepanasan sebab tak kena angin kipas, dan pada malam esok, ada dua kipas besar untuk keselesaan jemaah. Ada orang derma agaknya. Alhamdulilah, dapat pahala dan ganjaran yang besar.

Apa-pun terima kasih kerana menceriakan malam-malam ramadhan kami dengan MILO.

Minum MILO anda jadi sihat dan kuat.

8/26/10

Ceritera Sekolah Dua Darjat

BY humble.yat IN , No comments

Tajuk macam filem P.Ramlee kan?
tapi kisah di atas melibatkan generasi ibu bapa dalam mendidik anak-anak dari segi kehidupan, kedudukan, dan ekonomi.
Isu yang diulas antara saya dan adik(yang kini bertugas sebagai guru)
dalam perjalanan pulang bekerja saat kami melalui perkarangan sekolah.
namun, ini hanyalah pandangan peribadi kami semata-semata
berdasarkan apa yang kami lihat dan analisis (cewah).



Seperti kebiasaan, kereta saya meluncur laju ke sekolah "A". Menghantar adik sebagai tenaga pengajar di pagi hari. Berderet kereta-kereta mewah menghantar anak-anak kecil menuntut ilmu. Terdetik di hati saya " wah! hebat-hebat ibubapa di sini. Mesti gaji besar nih..".

Pernah adik saya bercerita " Idah rasa, kalau nak anak kita cerdik dan pandai, memang kena kahwin dengan orang sama "graduate", sebab idah tengok budak-budak yang baik dan pandai datangnya dari keluarga yang berpendidikan. Budak-budak yang nakal , ibu bapa berniaga pasar malam, bekerja sendiri. Tidaklah sehebat mereka yang "graduate"..Betul kak.."

Pintas saya "kenapa pulak?Arwah abah dan mak tiada masalah pun, malah kita enam beradik semuanya berjaya dan berpelajaran. Semua tu bergantung kepada kehendak ibu bapa sendiri"

" Tapi kak, bayangkan, ibubapa kat sekolah ini, ada pekerjaan yang stabil mampu menghantar anak-anak ke kelas tusyen, piano, gamelan, berenang semua itu untuk menjadikan anak mereka pandai-pandai macam anak kaum Cina..".

Teringat pula saya karya Dr HM Tuah Iskandar, cara-cara mengaktifkan otak kiri kanan dengan melakukan pelbagai aktiviti. Contohnya menulis. (seperti yang saya buat sekarang ni, cewah ) memang benarlah, kalau ibubapa berkemampuan, mereka juga mampu menjadikan anak mereka pandai mengikut cara-cara tersendiri.

Tapi tidak semuanya macam tu, kadang-kadang anak-anak yang datang dari keluarga yang susah juga mampu berjaya tetapi lebih kepada kekuatan, kemampuan untuk hidup berdikari berbanding dengan bantuan ibu bapa yang diberikan. Kejayaan dari golongan ini lah yang selalu kita nantikan kerana kejayaan mereka lebih bermakna dan "asli".

Dan baru-baru ini, saya mendapat berita sekolah "A" mencapai "ranking" pertama mengatasi 78 sekolah yang lain bagi pencapaian tertinggi dalam peperiksaan. Tahniah!

4.45am To 9.30pm

BY humble.yat IN No comments

Mimpi yang dibuai indah terhenti seketika tatkala ibunda mengejutkan kami bersahur seawal 4.45pagi. Jam telefon bimbit kami telah mengeluarkan pelbagai nada dering. Ada empat telefon bimbit yang dipasang "alarm"nya, begitu bingit sekali bagi memecah keheningan waktu bersahur. Kadang-kadang masing-masing tidak tahu menekan butang yang tepat untuk mematikan "alarm' tersebut kerana masih mamai dan dalam keadaan separa sedar dengan mata separuh terpejam dan terbuka(hehe).Ditambah selimut "busuk" di tangan menambahkan kemalasan untuk bangun di awal dinihari.

Namun, demi semangat Ramadhan, akal mengatakan "kita harus lawan , jangan layan!" . Bahkan bersahur itu sunat dilakukan sebagai seorang muslim yang beriman.

Seusai bersahur, menanti subuh, hendak berbaring, baru sahaja kekenyangan, akhirnya tidur terduduk atas sofa sambil menunggu azan diseru. Masih insan yang lemah.

Baca Al-quran selepas subuh walaupun agak mengantuk bila dah masuk mukasurat kedua, tapi tak melepaskan peluang ini kerana target saya paling kurang 5 mukasurat setiap kali selepas solat untuk menghabiskan satu juzuk untuk satu hari.Insya Allah.

8.00 pagi-4.30 petang, melalui saat yang sangat sibuk namun dibuat sehabis dan sebaik mungkin dalam menyelesaikan dokumen dan kes-kes hartanah anakguam. Namun,tak semuanya berjalan lancar, ada sahaja kesilapan dan gangguan yang tidak dijangka. Apa yang saya boleh lakukan, selesaikan segera yang mungkin. Ada juga isu panel, dan alhamdulilah selesai walaupun agak rumit dan memberi kesan atas pejabat cawangan. Perjanjian Melombong? harus belajar lagi, kadang-kadang masing-masing mengaut keuntungan sesama sendiri secara terang-terangan dan menyebabkan keadaan menjadi berat sebelah dalam melaksanakan perjanjian. Dan itulah kami sebagai peguam, untuk melindungi hak-hak dan kepentingan kedua-dua pihak supaya adil. Siapa yang kata peguam berat sebelah dan penipu? memang salah yek....

4.30pm berkejar balik ke rumah sambil megharungi kesesakan lalu lintas bagi membantu ibunda di dapur untuk makanan berbuka. Andai ada bahan yang tidak mencukupi, berkejar pula kami ke pasaraya terdekat. Ibunda "in charge' bahagian lauk, saya-pembuka selera/kuih, idah-memasak nasi, hidangan serta pembahagian, aizudin -air yang sejukkk untuk membasahi tekak-tekak kami yang dahaga bak berada nun jauh di Gurun Sahara. Sangat-sangat menghargai semangat keluarga untuk berbuka.

Pendek kata, hari yang terlalu panjang dan tidak ada noktah henti..Penat yang tidak terkata. Namun, saya ambil tanggungjawab tersebut sebagai HambaNya. Terima kasih Tuhan, memberikan hari-hari kami yang cukup indah dan bermakna untuk kami lalui bersama.


8/25/10

Anganku Cemerlang

BY humble.yat IN No comments


Nak tau apa rahsia saya selalu positif?Hayatilah hasil karya DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj, "Membina Imaginasi Cemerlang".

Sejujurnya, saya berubah menjadi positif, menjadikan angan-angan bukan sekadar Mat Jenin bahkan membuatkan angan-angan saya cemerlang dan jauh ke hadapan . Percaya atau tidak, buku inilah yang menjadi titik tolak perubahan "mind- setting" saya. Saya menjadi lebih percaya kepada keupayaan sendiri, lebih bermotivasi, dan bahagian yang paling penting, saya LEBIH POSITIF dan lebih menghargai akal yang Allah kurniakan dengan sebaik mungkin.

Bagi sesiapa yang sentiasa berfikiran negatif, hayatilah buku ini dan anda akan tahu apakah impaknya. Teruskan pembacaan walaupun ada terma-terma sains yang kita tidak fahami kerana itulah bahagian yang paling penting untuk mengenali keupayaan akal kita. Pada mulanya saya kurang berminat dan berkira-kira mahu "skip" mukasurat tersebut, tapi saya teruskan pembacaan kerana bahagian tersebut merupakan klimaks untuk mengenali akal kita yang tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Kini, saya cuba memaksimumkan penggunaan minda dengan lebih cemerlang untuk mencapai impian saya.

SELAMAT MEMBACA BAGI YANG INGINKAN PERUBAHAN POSITIF!!



150 Juta

BY humble.yat IN 3 comments


Malam ini , melayan lagu 150 juta..
apa yang saya boleh katakan..
UNEXPECTED.."sweet" sangat liriknya
kadang-kadang seronok jugak layan lagu-lagu macam ni...
tak ada salahnya kan selagi ia belum melalaikan..hehe
layan aje la..zasss...
**********************************************
Untuk kali keseratus lima puluh juta
Mereka tanyakan engkau soalan yang sama
“Eh kenapa kau masih lagi mahukan dia?”
“Apa kau buta, apa kau pura-pura suka”
Di seratus lima puluh juta kali itu
Di depan semua engkau tarik tangan aku
Yang sedang buat muka kosong tak ambil tahu
Sambil ketawa engkau bilang satu per satu
“Dia mungkin bengis seperti singa”
“Tapi dia nangis tonton cerita Korea
“Dia mungkin keras bila bersuara”
“Tapi dia jelas, jujur apa adanya”
“Aku lagi kenal dia”
Dah lebih seratus lima puluh juta kali
Aku pesan padamu apa yang bakal jadi
Engkau dan aku ada mungkin tidak serasi
Engkau sangat manis, aku ini pula dawai besi
Di setiap seratus lima puluh jutanya
Aku pun dalam hati semacam tak percaya
Apa kau lihat pada aku jujurkan saja
Terus kau cubit dagu aku, sambil berkata……..
“SAYANG mungkin baran tak kira masa”
“Tapi SAYANG tahan kalau yang salahnya saya”
“SAYANG mungkin saja keras kepala”
“Tapi SAYANG manja bila kita berdua”
“Saya kenal sayang saya”
Buat apa dicerita
Bahagia kita rasa
Biar tak dipercaya
Peduli orang kata
Baju ronyok tak apa
Asal pakai selesa
Berkilau tak bermakna
Kalau hati tak ada
Aku lebih bengis dari sang naga
Tapi bisa nangis semata demi cinta
Suaraku keras tak berbahasa
Kerna aku rimas gedik mengada-ngada
Aku mudah baran tidak semena
Mana boleh tahan angin cemburu buta
Dan aku sengaja tunjuk keras kepala
Aku punya manja, kau saja boleh rasa
Rahsia kita berdua..

8/22/10

Pencarian "Template" Baru

BY humble.yat IN No comments

sekarang ni tengah dalam mood nak cari templates baru.
kalau ada templates yang menarik, baru ada semangat nak ber"blogging"
kemungkinan konsep nature sebab sejuk mata memandang.
hari ini dah jari ke-3 pencarian.
harap ada lah templates yang berkenan di hati.
asyik berubah2 ajer templatesnya..
(cerewet juga rupanya saya ni huhu)
akhir kata, selamat malam,
selamat berqiamullail
selamat bersahur
dan selamat berpuasa
;-)

8/20/10

Buffet Ramadhan

BY humble.yat IN No comments

Majlis berbuka puasa@iftar bersama-sama rakan-rakan sepejabat di Dhe Ru Beach Resort, Kuantan.Tak sangka, jumlah yang hadir lebih kurang dalam 50 orang termasuk ahli keluarga masing-masing. Dah makin bertambah rupanya rakan-rakan sepejabat.Teringat sewaktu saya menjadi peguam pelatih dahulu, masa berbuka puasa cukuplah kalau ada 3 meja makan. Itupun dah kira meriah jugak.Tambahan pula hubungan kami agak rapat macam adik beradik.

Tahniah kepada Dhe Ru Beach Resort.
Buffet yang sangat berbaloi-baloi.
Hidangan yang sempurna dari pembuka selera hingga pencuci mulut.

Namun, saya tidak mempunyai selera makan bila mengenangkan keluarga di rumah, dengan "homemade" lompat tikam sentuhan air tangan ibunda yang penuh kasih sayang yang saya hanya sempat menjeling sebelum keluar rumah untuk beriftar.

Jadi, benarlah hadis yang mengatakan " ..Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan (iaitu) kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya.." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dan, pada malam ini saya kurang gembira bila tidak berbuka puasa bersama ibunda dan adik-adik. Namun, kegembiraan saya muncul kembali, kerana saya dan rakan sepejabat, K.Nor masih sempat berterawih dalam perjalanan pulang ke rumah iaitu kegembiraan ketika menemui Tuhan Maha Penyayang.

ALLAHU AKBAR!




Saf Hadapan??

BY humble.yat IN , No comments


Malam ke-8 ramadhan, saya dan adik sampai di Masjid al-Hidayah yang terletak di kawasan perumahan kami tepat 8.15malam. Sejurus sampai di pintu masjid, kami lihat ada ruang yang banyak di saf pertama.Tanpa membuang masa, saya terus mencapai tangan adik saya untuk mengisi ruang saf pertama. Nampak riak wajahnya agak keberatan untuk solat di saf tersebut.

Lantas, saya bertanya apakah yang digusarkannya. Dia mencuit tangan saya seraya berbisik "Akak macam orang tua la..". Tersentap hati saya seketika. "Orang tua? kenapa?". Masih tidak puas hati kerana saya sering dianggap orang bahawa saya masih belajar walaupun saya sudah hampir dua tahun di alam pekerjaan.

"Cuba akak tengok baris ni, semuanya makcik-makcik yang dah pergi haji, kita je orang muda yang ada dalam saf ni.." Saya menjeling jemaah-jemaah yang sebaris dengan kami.

Setiap seorang membentangkan kain putih suci berenda menggantikan sejadah berwarna-warni, kain telekung, berjubah serta berstokin tebal macam jemaah haji. Ada benarnya kata-kata adik saya.

"Atun, takkan kita nak duduk saf pertama bila kita dah jadi tua?dah berusia baru nak duduk saf hadapan. Rugilah kita." jawab saya seraya berketawa kecil."Hmm..Betul juga tu" jawabnya sambil menunjukkan ibu jari ke atas tanda puas hati .

Saya nampak kegusarannya hilang serta merta tatkala azan isyak berkumandang.

Begitulah kita, seringkali untuk mengelak untuk maju ke saf hadapan.Bahkan lebih untuk memilih saf belakang. Apatah lagi saat bergelar pelajar yang lebih cenderung untuk memilih tempat duduk di belakang kononnya tidak mahu ditanya pensyarah, kononnya mahu lelap sejenak saat kuliah bermula lantera tidur malam yang agak lewat. Sedangkan pelajar yang duduk di barisan hadapan akan diberi keutamaan oleh tenaga pengajar, lebih mudah memahami kerana tiada gangguan "pemandangan-pemandangan" lain berbanding tempat duduk di belakang. Sebab itu saya suka saf hadapan.;-)

8/18/10

Sebelum Mata Terlena..

BY humble.yat IN 2 comments

Ketika sembahyang berterawih di Masjid Sg. Karang tadi, secara tiba-tiba saya terasa kerdil sekali bersama himpunan-himpunan jemaah walaupun berada di saf hadapan. Mendengar bacaan imam yang mengalunkan surah-surah tanpa jemu mengingatkan saya tentang surah-surah hafazan yang telah saya hafaz, ayat-ayat Al Quran yang telah saya belajar tentang hukumnya melalui perundangan syariah dan fiqh, tafsir ayat-ayat al-Quran yang saya mengerti maksudnya. Namun adakah cukup amalan saya sehingga saat ini sebagaimana saya memahami ayat-ayat tersebut. Terkesima seketika kerana saya pasti amalan masih tidak mencukupi. Ya Allah, aku mohon padaMu, untuk melembutkan hatiku, jiwaku, mindaku dalam mencintaiMu.
Sebelum mata terlena
Di buaian malam gelita
Tafakurku di pembaringan
Mengenangkan nasib diri
Yang kerdil lemah dan bersalut dosa
Mampukah ku mengharungi titian sirat nanti
Membawa dosa yang menggunung tinggi
Terkapai ku mencari limpahan hidayahMu
Agar terlerai kesangsian hati ini
Sekadar air mata tak mampu
Membasuhi dosa ini
Sebelum mata terlena
Dengarlah rintihan hati ini
Tuhan beratnya dosaku
Tak daya kupikul sendiri
Hanyalah rahmat dan kasih sayangmu
Yang dapat meringankan hulurkan maghfirahmu
Andainya esok bukan milikku lagi
Dan mata pun ku tak pasti akan terbuka lagi
Sebelum berangkat pergi ke daerah sana
Lepaskan beban ini
Yang mencengkam jiwa dan ragaku
Selimuti diriku
Dengan sutra kasih sayangmu
Agar lena nanti kumimpikan
Syurga yang indah abadi
Pabila ku terjaga
Dapat lagi kurasai
Betapa harumnya
Wangian syurga firdausi.. Oh Ilahi
Di sepertiga malam
Sujudku menghambakan diri
Akan kuteruskan pengabdianku padamu

NOTA: Lagu ini merupakan lagu kegemaran saya bagi menginsafi diri dan sehingga sekarang saya masih tidak jemu mendengarnya..terutamanya untuk muhasabah diri sambil ditemani cahaya bulan dengan keheningan malam, pasti hati tersentuh mengira dosa yang terhitung..T_T

8/15/10

Tuntutan Ramadhan Dan Kerjaya

BY humble.yat IN No comments

~catatan editor JALILAH ABDULLAH (Anis September 2008) yang saya suka...~

  • logiknya , mana mungkin dapat duduk berteleku berjam-jam membaca Al-Quran, di celah tanggungjawab menguruskan rumah tangga, kemudian "berlari" pula ke masjid untuk solat terawih. Setelah itu kembali semula ke rumah untuk membuat persediaan sahur sebelum melepaskan kellelhan di perbaringan.
  • "Tidak mungkin mampu khatam al-Quran dalam tempoh sebulan," tentu itulah bicara akal.Tetapi mari kita merujuk pula bicara hati.
  • Allah peruntukkan masa 24 jam sehari yang sama kepada semua hambaNya. Dalam tempoh itulah kita kita perlu menyusun masa yang berkualiti untuk laksanakan hak terhadap diri, keluarga dan masyarakat.
  • Namun, jika hati sudah ditanamkan cinta kepada Allah, segala kepayahan akan sanggup kita redah. Sebagaimana orang yang sedang mabuk dilamun cinta, segalanya nampak indah indah dan mudah, walau halangan mendatang.
  • Lalu katakanlah kepada hati, berbicaralah setulusnya kepada Allah: " Dengan keberkatan Ramadan, al-Quran akan tetapku baca. Walau dalam kepayahan masa, walau terpaksa bertongkat mata dinihari merebut cinta-Mu dan menyubur rohaniku."
  • Sayangnya pada waktu makbul itu kita selalu lupa. Bonus hebat ini selalu kita abaikan. Kita biarkan lepas ianya berlalu dengan membiarkan diri diulit nafsu yang mahu terus lena di pembaringan mendakap kesejukan malam. Kadang-kadang bersahur pun sebelum tidur supaya mimpi tidak terganggu. Berat sungguh belitan nafsu hinggakan liat mata untuk celik apabila kedengaran seruan untuk bangun sahur.
  • Jangan risau jika kurang tidur, kerana itulah tradisi orang berjuang. Tidurnya tidak panjang, makannya tidak banyak. Sedangkan orang berjuang kuat bekerja.
  • Semangat dan cinta kasih mereka kepada Allah dan Rasul pula mekar berpanjangan. Bagi mereka, masa yang singkat ketika dinihari itu digunakan untuk menjinakkan hati dengan membaca Al-Quran dan banyak mengingati mati.
SALAM RAMADHAN



Our Success Story

BY humble.yat IN 1 comment

~Bachelor of Urban Regional and Planning (Hons)~


Keluarga kami bukanlah dari berpendidikan tinggi.Tetapi kami dibesarkan oleh impian seorang ayah yang ingin melihat anak-anaknya berjaya . Dirancang sebaik mungkin di mana kami adik beradik harus mendapat pendidikan yang terbaik. Bersekolah sekular di sesi pagi, bersekolah agama di sesi petang.Namun begitu saat - saat kami mengecapi kejayaan demi kejayaan, mengenggam segulung ijazah demi ijazah, dia telah pergi meninggalkan kami. Saat- saat nama kami disebut di majlis istiadat konvokesyen, yang hanya sokongan ibunda dari tempat kehormat ibu bapa. Adakalanya aku yang terasa sebak di hati tatkala menemani ibunda menyaksikan detik-detik bersejarah adik-adikku . Andailah arwah abah ada menyaksikan detik-detik ini, pasti dia tersenyum bangga. khas untuk arwah abah, inilah hadiah yang terbaik dari kami..
~Bachelor of Science in Oleochemistry, UKM~

8/6/10

Sihat Dan Jimat!

BY humble.yat IN No comments

Malam tadi hantar adik ke klinik swasta . Antara perbincangan kami mengenai kos perubatan klinik, agak mahal walaupun hanya sekadar ubat titis mata. Kalau macam tu setiap bulan dari pendapatan kita harus ada peruntukan perubatan. Sebab tu ibunda tercinta saya selalu menasihatkan cara pemakanan kami, kalau demam makan ubat ikut waktu. Kalau tak ikut , habis kami dimarahi dan dileteri. Tak sanggup saya nak mendengar dan lebih baik telan ubat yang pahit sebelum kena marah huhu..


Nasihatnya, kalau makan makanan, cari gerai yang bersih, jangan makan benda yang merepek-merepek, bercampur-campur, jangan tamak..hehe..nanti sakit perut siapa yang susah?;-)

Betullah kata emak..Kalau lah kita sihat, tak adalah pembaziran..hehe..jimat duit...
MORAL OF THE STORY: LEBIH BAIK MENCEGAH DARI MENGUBAT!

8/3/10

Mahalnya!!!!

BY humble.yat IN No comments



BUGGATI VEYRON hmmm..
antara 10 kereta termahal di dunia..
tengok rupa, rekaan kereta ni dah cukup mewah dan ekslusif..
apatah lagi harganya tak tercapai akal kita nak membayarnya.

Tapi bukan kereta ini menjadi "post" utama saya pada kali ini.
tapi isu "MAHALNYA!!!!!" yang menjadi mainan fikiran saya pada masa ini.
Malah bukan isu kenaikan harga barang yang sering ibunda saya bicarakan tatkala membeli barang keperluan barang dapur kami sekeluarga.

Apa yang menjadi persoalan saya,
MAHALKAH HARGANYA UNTUK MENJADI BAIK?

Saya menonton sebuah drama tempatan, kisahnya seorang kanak-kanak perempuan yang tersangat nakal berubah menjadi baik setelah kedua ibu bapanya terkorban dalam sebuah kemalangan.
Apatah lagi bila melihat kanak-kanak itu membesar,
agak sejuk hati melihat dia menjadi "baik"
tapi, kanak-kanak itu hanya menjadi "baik" dengan pertukaran nyawa.
Pada fikiran saya, ianya agak MAHAL untuk menjadi seorang yang baik dengan kehilangan kedua ibu bapa tercinta yang membesarkan dan mendidik kita seadanya.

Jadi, sahabat-sahabat di luar sana janganlah menjadikan isu untuk menjadi insan yang "baik" bila kita dah kehilangan nyawa orang yang kita sayang.
Akan menjadi insan yang "baik" apabila dah sampai seru dan hidayah.
Alasan-alasan yang agak klise didengari untuk kita menjadi "baik".
kerana alasan-alasan itu terlalu mahal untuk menjadi tukaran status "baik".

Saat kita menjadi "baik" seperti yang diinginkan,
rupanya kita dah kehilangan permata berharga.
Saat kita menjadi "baik" seperti yang diimpikan,
segalanya sudah terlambat untuk kita ulangi sejarah yang tidak ternilai.

~Wallahu 'alam~

8/2/10

***Why Blog??***

BY humble.yat IN No comments


Kenapa saya pilih tajuk "WHY?"..Pertama sekali, alhamdulilah, tanpa saya sedari, saya dah keluarkan tujuh (7) pos sejak July Lalu. Dengan melayari dan mengambil inspirasi dari blog-blog lain, saya sudah meletakkan apa tujuan, matlamat blog saya.. hmmm..banyak juga sebenarnya.Sebelum ini diari menjadi peneman saya untuk saya meluahkan perasaan, aktiviti harian dan pencapaian saya pada hari-hari yang berlalu, target saya pada masa akan datang, harapan dan doa-doa. Bila saya menyingkap kembali diari-diari lama, banyak kenangan yang diimbas, pendapat saya tentang kehidupan dalam mencari kekuatan dan ketenangan diri. Insya Allah, akan saya coretkan dalam blog ini pada masa kelak.

Ilham saya untuk mempunyai blog sendiri apabila saya melihat adik-adik saya, Nurzahidah dan Nurbasirah mencoretkan dan mengemaskini blog-blog masing-masing.Agak seronok dan gelihati melihat tulisan mereka walaupun mereka tidak menggunakan format Bahasa Melayu Tinggi bagi penulis-penulis Blog. Sejuta penghargaan khas untuk adik-adik saya..;-)

~Wassalam~

8/1/10

Because He Is A Muslim

BY humble.yat IN 1 comment