Tuesday, November 26, 2013

Idea: Ruang Solat

Bismillahirahmanirrahim.. 
Assalamualaikum wbt.

Tengah cari idea untuk upgrade ruang solat di pejabat dan di rumah.Supaya lebih selesa untuk berjemaah, melakukan aktiviti bacaan Al Quran, tazkirah dan memudahkan tetamu yang datang untuk menunaikan solat. Jadi tengah survey deko asas untuk ruang solat.

Antara keperluan asas yang saya lihat;
-karpet/ tikar
-ruang letak sejadah dan kain sembahyang
- rak letak Al Quran dan buku-buku
- partition/pembahagi ruang


Yang di atas, ni memang sempurna di mata saya. Kawasan lapang dan sesuai untuk melakukan aktiviti kerohanian, sama ada usrah keluarga,pejabat. Kabinet buku pun tersusun.Like!

Link
Yang ni pula menggunakan asas tikar buluh (mungkin) , sesuai juga sebab senang untuk membersihkan ruang solat, tanpa perlu risau pada habuk yang  melekat pada karpet.Mudah diuruskan.Dan ada "partition" lagi.Ada tempat letak sejadah, kain sembahyang dan rak Al Quran.Like jugak..:-)

Link.
Yang ini pun praktikal untuk ruang yang kecil. Penggunaan karpet, rak minima 2 tingkat dan langsir sebagai sempadan.Suka juga..:-)

Ruang solat Wawa 
Yang atas ni best! Blog Wawa.Nampak ceria sangat.Nak solat pun rasa bersemangat aje.Penggunaan tempat sangkut di dinding, rak gantung juga idea yang menarik.

Link
Yang ini menggunakan ruang yang kecil dan panjang.Ringkas tapi sudah cukup selesa untuk mendirikan solat.

Link
Ruang solat plus ruang utiliti.Karpet terletak di ruang tengah-tengah.Ironboard, terletak di tepi dinding.Jadi, ia praktikal untuk kegunaan  dua dalam satu.

Doakan misi saya berjaya yek...
Ameen!

Nota Naluri.
Mencari saham akhirat melalui penggunaan ruang solat yang berterusan.Semoga Allah memberkati.Ameen!

Friday, November 22, 2013

Rutin Kerja Hakiki

Bismillahirahmanirrahim.. 
Assalamualaikum wbt.

Walaupun hari ini hari Jumaat, kerja "drafting" tetap tidak pernah surut.Untuk hari ini sahaja, ada  enam kes yang menanti untuk diderafkan.Hari yang panjang buat saya.Fuh!

Pandangan pc saya!Job list kerja "top right"Fuh!

Ada yang  kata, bukankah ada standard untuk semua prosedur?Ya memang semua standard, tetapi ia bergantung kepada keadaan sesuatu kes.Lain kes, lain ceritanya, lain prosedurnya, maka lainlah cara penyelesaiannya.Jika ada isu yang berbangkit di dalam tempoh penyempurnaan kes, adakalanya memerlukan kreativiti dan kecekapan untuk memecahkan isu tersebut.Sesungguhnya pertolongan itu semuanya datang dari Allah swt. 

Legal Advise


Kerja-kerja hakiki saya biasanya legal advise. Proses "legal advise" bergantung kepada maklumat dan dokumen yang mencukupi untuk melangkah ke prosedur seterusnya. Proses ini biasanya memerlukan inkuiri daripada pihak kami.Antara isu yang biasa.
  • Saya nak beli rumah.Berapa anggaran kos guaman?
  • Saya nak beli rumah.Berapa lama tempohnya.
  • Saya nak beli rumah.Bagaimana prosedurnya
Itu antara soalan yang paling top di firma kami di bahagian hartanah, komersial dan korporat.
Apa-apa pun, kami akan menjawab berdasarkan fakta kes yang diterima, jenis tanah yang dibeli.

Deraf Perjanjian


Bahagian ini memang paling sukar bagi saya.Untuk memastikan semua klausa "fair and square" kepada semua pihak.Tiada berat sebelah.

Saya belajar skill ini dari bos saya, semenjak dari "chambering".Kagum juga dengannya, dengan selamba dia laju menulis apa yang diminta oleh klien, sambil mempertimbangkan ia adalah selari dengan undang-undang dan kebajikan pihak-pihak.

Antara yang kami selalu buat, Perjanjian Usahama, Perjanjian Penswastaan, Perjanjian Pembangunan, Pembalakan, Pembangunan "Website", Perlombongan, Perjanjian Pelaburan, Perjanjian Pinjaman Persahabatan, Sewaan, Perjanjian Mengambil Ailh Pengurusan, Jual Beli Saham Syarikat, Perjanjian Kontraktor, Pertanian.

Alhamdulilah, semua koleksi saya simpan untuk membuat rujukan bagi pihak kami.Terma-terma dan  syarat-syarat biasanya akan dipertimbangkan mengikut keadaan kes tersebut.

Biasanya, klien datang, serah dokumen, memberi maklumat transaksi mereka.Kami mencari perjanjian yang sesuai untuk diaplikasikan, kemudian, deraf. Masukkan klausa mengikut turutan dan sekuinsnya.Kemudian, proses "vetting" perjanjian, "double check", "triple check" berbincang dengan klien tentang terna-terna perjanjian, dan akhirnya sentuhan "final touch" untuk ditandatangani, sesi penyerahan dokumen.

Billing
Ok. Saya mengaku saya cepat mengalah dengan Matematik.Tetapi itu yang membuatkan saya lebih berhati-hati dengan Matematik dan dalam pengiraan bil kami.Apa-apa pun, bil guaman memang tertakluk kepada Solicitor Remunaration  Order 2005 dan Stamp Act. Jadi kiraan bil memang standard dan mengikut keadaan kes.

Jadi, nak tak nak, matematik itu menjadi satu keperluan dalam kerja kami. 

Nota Naluri:
Target nak sistematikkan legal billing..Insha Allah.Moga dipermudahkan.
Hanya nota untuk saya untuk terus menjadi "Superwoman" dalam kerjaya

Wednesday, November 20, 2013

Sembilan Tahun Berlalu...

Bismillahirahmanirrahim.. 
Assalamualaikum wbt.

Pagi-pagi lagi sudah diiringi dengan hujan renyai-renyai di luar.Sesayu rasa hati  bila hari ini , rupanya sudah sembilan tahun arwah abah pergi meninggalkan kami .

Al fatihah....

Abah,(update diari biru..)


Tahun ini, Basirah sudah selamat bergraduasi dari Universiti Malaysia Terengganu.Seronok emak sebab dapat berjalan dengan satu keluarga ke Terengganu.Selepas ini, kami tak ada alasan untuk pergi ke Terengganu lagi sebab Basirah dah habis belajar di negeri penyu itu.

Aina pun konvo dapat "kaki"...
Hari konvokesyen Basirah, cucu sulung abah, Aina Syafiyah dah rancak berjalan, menepati janji pada Atehnya (Basirah) mahu berjalan tatih-tatih masa majlis konvonya.Alhamdulilah!


Dan Aina pun dah dapat sepupu pada raya lalu, cucu abah yang kedua, anak Angah dan Iman , Iman Nur Haniyyah namanya.Macam muka walid dia. Tapi, bila besar nanti mungkin ada juga iras uminya juga.

Dan di rumah sekarang, dah ada tiga "kuda" yang sedia berkhidmat untuk bawa emak dan semua berziarah rumah saudara, berjalan.Satu amalan yang abah selalu ajarkan kepada kami.Ziarah saudara mara, walau susah macam mana pun.

Insha Allah abah, janji kami adik beradik akan menjaga emak setulus hati kami.Menghiburkan hatinya selagi nadi kami masih berdenyut.

Semoga Abah sentiasa menerima segala amalan-amalan yang baik dari kami semua.

Amin!

Monday, November 18, 2013

Habit: Marah Itu Mudah

Bismillahirahmanirrahim.. 
Assalamualaikum wbt.

Link
Hari ini nak cakap tentang budi bicara.Sebab hari pertama dalam minggu bekerja, dah jadi panas.Please..pagi-pagi pulak tu.Terus bersuara tinggi tanpa tahu menahu isu.

Katanya, "Saya dah bayar habis RM xx,xxx.Kenapa tak dapat geran asal lagi...!"
Dahla tak bagi salam, kalau bagi salam, kan dah bermula pahala di situ...
Kata saya, "Sekejap ye puan, nama apa, pembelinya siapa..?"
Katanya, " Nama XXX...!"
Kata saya, "RM XX.XXX itu harga jual beli, pembeli masih tak settlekan lagi baki fee guaman.hanya RMXXXX sahaja yang kami terima, ada baki lagi puan.."
Katanya, " XXX kata dah settle semua, man ada lagi bayaran dah..."

Saya mula panas.Lihat!perubahan hormon dah berlaku pada saya bila dia bertingkah semacam dengan saya.Cuba bawa bertenang, dan selesaikan dengan dia.Tapi, hati saya tetap ada sedikit panas.Istighfar berulang kali saya lafazkan untuk leburkan "panasnya hati" saya tadi.Allahu Rabbi.Lemahnya iman ini.

Entahlah, kebelakangan dalam tiga tahun ini, banyak klien yang "hot", suka  salahkan orang walaupun dah ikut prosedur dan ikut masa.Yang mereka tahu , nak cepat. Sila hormat segala prosedur yang kami buat.Kalau tak, buatlah kerja itu sendiri.

Saya sendiri tak pernah tengok bos saya marah-marah klien,cuma satu, ada klien ni "kurang budi bicara".Menengking-menengking dan tinggikan suara.Ya Allah, perempuan muda pula tu.Saya sebagai golongan wanita, terasa malu dengan sikapnya.

Cubalah dengar dulu apa yang kami nak terangkan.Itu gunanya komunikasi dua hala.Bukan komunikasi satu hala.Bercakap tapi tak mahu dengar dan pertimbangkan pandangan orang lain.

Kes "Follow up" status kes, perkara biasa, semua klien akan berbuat begitu. Jika klien itu penuh budi bicara, maka kami senang hati melaksanakan prosedur mereka,Jika sebaliknya, faham-faham sahaja lah.Allah yang lebih tahu.Maka cubalah mempermudahkan urusan kami semua dalam bidang ini.

Link
Maka, cubalah bersopan santun , berbudi bicaralah kerana ia sikap orang  berilmu.
Itupun belum lagi berbincang tentang 10 habit yang di dalam gambar di atas.
Tentang perlunya komunikasi dua hala, tentang pentingnya kesantunan. 
Tapi, jangan sesekali cuba bermuka-muka, itu paling menikam jiwa!

Wallahualam

Tuesday, November 12, 2013

Teruja Tapi ...... Saya Dah Jatuh Hati...

Bismillahirahmanirrahim.. 
Assalamualaikum wbt

Kenangan Civil Procedure II, Mock Trial , Moot Court IIUM.
Zaman sekarang ni, zaman wanita bekerjaya, berada sebaris di dalam golongan profesional seperti golongan lelaki.Tapi saya pasti kepimpinan lelaki tiada tolok tandingannya. Manakala golongan wanita, terkenal dengan telitinya.Cuma saya rasa, sekarang lebih kurang sahaja, kerana ia terpulang kepada pengetahuan, pengalaman seseorang itu. Lebih banyak, dia selesaikan cabarannya, maka bertambahlah pengetahuannya. Pandangan saya sendiri  sahaja ye.Dan jawapan sebenar selalunya subjektif.Terpulang kepada persekitaran masing-masing.

Ok cuma nak cerita, baru-baru ini saya didatangi klien saya, seorang jurutera muda.Datang bersama isterinya. Maka saya tanya, "Oh Isteri, Bekerja di mana?", Klien saya menjawab, "Dia tak kerja, kerja dia jaga saya je.." 



Wah! dalam hati saya teruja macam tu.Tapi, saya terfikir, kalau saya diberi peluang sebegitu, pasti saya rindukan kerja saya sekarang. Berbakti kepada mereka yang memerlukan dengan pengetahuan yang ada.Panjangkan Ilmu yang dipelajari kepada mereka, tentang tips-tips dan sebagainya.Tentang hak waris-waris dalam kes pesaka, faraidh, harta sepencarian.Walaupun saya tak mampu mengendalikan secara keseluruhannya, cukup lah bagi saya untuk bagi flow-procedure, memastikan dokumen-dokumen mereka teratur untuk prosedur seterusnya, dan bos dan rakan-rakan saya akan meneruskan prosedur permohonan.(Saya memang tak sempat, tak cukup tangan.)Huhu..Kalau diberi peluang, saya akan teruskan prosedur tersebut..Huhu..

Mungkin terpulang pada jiwa masing-masing.Kalau dah jatuh hati pada profesion masing-masing.LAkukan yang terbaik dan ikhlas.Insha Allah, ada pulangannya.Just Believe In Allah!

Nota Naluri:
Syukur ke atas Nya apabila klien berpuas hati dengan perkhidmatan guaman yang disediakan.
Tapi masalah sendiri tak settle lagi..huhu..Target before end of this year!Insha Allah!

Monday, November 11, 2013

Hanya Sekelip Mata...

Bismillahirahmanirrahim.. 
Assalamualaikum wbt.

Sebelum ini kita dikejutkan tentang Pegawai Operasi Bank ditembak, kemudian, pada hari semalam 10/11/2013, negara dikejutkan lagi dengan kes Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIP Ahmad Rafli Abdul Malekditembak di rumahnya.

Terasa satu kehilangan besar bagi saya sebagai rakyat Pahang khususnya,

Credit
Takziah dan Al fatihah buat ahli keluarga dan waris-waris.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Isu keselamatan, keamanan, perundangan dibangkitkan."Perbicaraan di media" hangat.
Isu menjaga kepentingan diri sendiri di kawasan kejiranan juga timbul, bimbang menjadi mangsa keadaan.

Belum lagi dengan kes ugutan.

Cuma tips dari saya, jika ada terima ugutan dari mana-mana pihak, sila buat laporan polis untuk keselamatan sesama kita.

Semoga kita sama-sama tingkatkan penggantungan diri kepada Allah swt.

Wallahualam.

Wednesday, November 6, 2013

Hijrah Itu Pengorbanan!

Bismillahirahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt.


Salam Maal Hijrah 1435H.Semoga bermulanya tahun baru hijrah membawa satu perubahan kepada diri kita. Membawa satu keazaman, semangat untuk berbakti kepada agama.

Amati lirik lagu Muharam yang sering diperdengarkan kepada kita, penuh kibaran semangat kan...Apatah lagi cuba kita bayangkan ketika zaman perpindahan Nabi Muhammad saw dari Mekah ke Madinah, bagaimana keadaan mereka ketika itu, bagaimana pengorbanan dan perjuangan  mereka.Allahu Akbar!

"Hijrah itu pengorbanan... Hijrah itu perjuangan...
Hijrah itu persaudaraan...Hijrah membentuk perpaduan..."

Adakah kita mampu membuat  pengorbanan seperti itu, hanya kerana agama tercinta? Rata-rata kita memilih pengorbanan yang HANYA KITA MAMPU. Bukan pengorbanan di luar jangkauan kemampuan kita.

Contohnya, bila diarah buat kerja "over time", rata-rata daripada kita merungut (termasuk saya bila kena masuk pejabat sehari sebelum raya..huhu).Sebab kononnya "korbankan" masa berkualiti dengan keluarga.Agak sukar kan? Realitinya, sukar untuk kita terima dengan redha..Tipisnya iman-iman kami Ya Allah!

Kata diri mahu jadi orang yang beriman...
Kata diri mahu jadi orang yang bertaqwa...
Kata diri mahu memperjuangkan syiar Islam...
Tapi setakat mana kata-kata itu terlaksana....?

Allahurabbi...


Maka bermulanya Hijrah, sama-sama kita berazam untuk menjadi orang yang betul-betul berhijrah..bukan sekadar kata-kata..Mulakan ia dengan satu senarai Hijrah 1435H..Apa yang kita impikan, apa yang kita mahu laksanakan...

Wallahualam.

Nota Naluri:
Waktu kecil dahulu, bila awal Muharram,mesti berazam nak bangun awal-awal pagi.Macam ada satu nafas baru di 1 Muharam.Harap ia berterusan...Ameen!


Friday, November 1, 2013

Throwback: Zaman Student Dulukala...

Bismillahirahmanirrahim.. 
Assalamualaikum wbt.



Sedang mengimbau zaman belajar dulu, dengan rak buku yang bersepah (kalau belajar, saya memang akan "conquered" satu meja) , dengan MP3 sambil buat mind mapping kitab-kitab syariah. Ada gambar keluarga sebagai inspirasi, dan kata-kata semangat!

1. Kecerdasan minda
2. Kecerdasan emosi
3. Redha ibu bapa
4. Doa
5. Usaha yang sesungguhnya
6. Tawakal yang padu

Saya pun dah tak ingat ambil tip-tip di mana, tapi yang pasti ia berkesan buat saya..:-)
Gambar-gambar ni semua dari handset lama, masa tu zaman tak secanggih sekarang kan..hehe..zaman tu zaman handset motorola yang berflip bagai rasanya..how time flies.....


Bersama Lizawati sebelum masuk pintu.Sahabat pertama ketika pendaftaran di UIAM, PJ.
Antara gambar yang sempat diambil.Kami adalah batch pertama yang merasmikan robe baru IIUM untuk 2nd Degree kami.Sebelum ni pakai list kat tudung je. Yang list kat tudung tu pun, kami juga adalah batch terakhir ketika ambil first degree.

Bersama Farah Naquiyah, peminat no 1 Siti nurhaliza


Gambar-gambar lain  kena godek lagi.Yang pasti rindu zaman study dulu, pergi library, discussion, study group, mind mapping, bertukar nota, bawa buku tebal dari rak library ke atas rak meja, sit for the final exam di CAC Hall.Mood nak sambung study agaknya ini.Tetapi pasti ada banyak cabarannya bila sudah berkeluarga dan komitmen kerjaya kan?Huhu...

Any Tips?


Nota Naluri:
Masih dalam tempoh istikharah untuk pelan jangka masa panjang bagi menghadapi arus perubahan dasar pendidikan dan kerja...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...