Friday, April 29, 2011

Hanya Teringin..

Saya pun tak ingat hari apa, cuma yang penting saya cuma teringin makan sesuatu yang dah lama saya tak makan.Puas juga merayu pada emak, "Bagilah akak lepaskan angin akak kejap je, teringin sangat nak ABC campur Bihun Sup kat situ jugak..". Mak pun pelik, tapi dia hanya menurut saja kata saya.Hehe. Terima Kasih emak..:-)Tesangat-sangat teringin walaupun tak habis :-)


Balik dari bandar dari membeli barang, tiba waktu Zuhur, dan Masjid tedekat adalah Masjid Negeri, tetapi saya tak ke situ, mahu mencari masjid di tepi pantai juga, melepaskan tekanan kerja yang ada.Angin-angin pantai yang berhembus sepoi-sepoi bahasa itu juga yang mendamaikan hati saya dan membuat saya tersenyum.:-)

Lama juga saya beriktikaf di situ.Adik dan emak, hanya tunggu di kereta selepas selesai menunaikan kewajipan fardhu itu.Mendengarkan lagu-lagu kegemaran mereka sehingga habis bateri MP3.Lama juga. Memang saya sengaja.

Mungkin saya perlu mengambil cuti agaknya.T.T

Seorang kawan saya demam, dan dia juga ke pantai melepaskan keinginannya.MMS pada saya gambar panatai yang dia pergi.Terkejut juga saya, tengah demam-demam pun ke pantai.Pantai dan angin laut memang ada daya tarikannya sendiri kan?

Malam tadi, ibunda tercinta mengenang kembali, hadiah lahirnya pada tahun lepas bercuti di hotel yang betul-betul mengadap laut, sangat seronok lihat dia gembira.Kali pertama saya membawanya bercuti pada hari lahirnya.Tapi tahun ini apa pula ya rancangan saya..Masih berfikir yang "unexpected" untuknya:-).

Thursday, April 28, 2011

Sujudku Dengan Air Mata


Malam itu terasa sangat sayu
Dari takbiratul ihram hingga ke sujud itu ditemani dengan air mata
Entah Kenapa....

Teringat kata-kata Ustaz Muhammad, dunia ini tempat berpenat-penat , bukannya untuk berehat, maka buatlah amal yang terbaik .
 Al Fatihah Buat Arwah Abah , Nenek, Tok Ayah, Tok & Pak Long..T.T

Nota: 
Semalam Makan nasi, tapi terasa hanya seperti pasir halus yang melalui tekak. Mee Goreng untuk sarapan pun, kelihatan seperti warna hijau.Aduh Kronik!
  

Wednesday, April 27, 2011

Dia Bukan Maryam & Pengendali Umrah



Lama juga tak melayan drama-drama Melayu ni dan "Dia Bukan Maryam" musim kedua menarik perhatian saya, apabila lokasinya di Kota Suci Mekah.Watak yang dimainkan Nisdawaty sebagai pengendali umrah dan ziarah membuatkan saya teringin menjadi pengendali umrah. 

Tapi, saya pasti bidang saya amat jauh berbeza , perundangan dan fardhu haji .Tentu banyak yang perlu dipelajari.Apa salahnya jika saya ingin berubah profesion kan? Ilmu ada di mana-mana, jika kita ada kesungguhan untuk belajar , tiada apa yang dapat menghalang. 


Jika saya menjadi seorang pengendali, saya perlu berulang alik ke Mekah, fasih berbahasa Arab dan mengetahui hukum-hukum mengenai umrah dan haji khususnya.Seronoknya belajar perkara yang berbeza  :-)

Tapi itu hanya angan-angan sahaja.Tapi mungkin boleh jadi benar kan?

Nota: Mahu bersungguh-sungguh kumpul duit untuk ke mekah ;-) Mak, nanti kita pergi sama-sama yerk..
  

Tuesday, April 26, 2011

Membina Keyakinan Diri



Hari ini nak ingatkan diri sendiri dan cuba perbaiki diri.:-)

Keyakinan diri boleh ditanam dengan;
  • Latih duduk di depan dalam sebarang majlis terutamanya dalam majlis ilmu
  • Berjalan dengan laju seperti Rasullulah s.a.w
  • Apabila berkomunikasi dengan orang lain, pandang wajah mereka.
  • Suara semasa bercakap perlu kelas dan terang, jangan terlalu perlahan hingga sukar didengari
  • Senyum ikhlas dan lebar, bukan senyum-senyum kambing.
Petikan dari  Solusi Isu 17.

Nota: 
Dulu kurang percaya bila ada petua , berlatih bercakap depan cermin kalau nak membina rasa yakin. Tetapi, ianya sangat berguna, bila mata kita bertentang mata di dalam cermin dan bercakap, skil keyakinan diri itu akan ada dengan sendiri.Dan yang penting ilmu dan pengetahuan kita  yang ada juga sangat membantu.Percayalah!


Friday, April 22, 2011

Racun Ku Minum Jadi Penawar?


"Orang berinai berhitam kuku
Mandi dijirusi si air mawar
Kalau sampai hasrat hatiku
Racun ku minum jadi penawar"

Terjatuh hati pula saya dengar kata-kata Tun Teja ni.Seorang kawan  meletakkan status ini di FB.Setelah dikorek, katanya ada kisah tersirat di situ.Dan dia mahu saya membaca buku ini...:



"HIKAYAT HANG TUAH!"

Buku sejarah! Mata pasti  mengantuk kalau baca buku-buku jenis macam ni kan? Kalau ikutkan kawan saya tu, dia ada memberitahu babak tertentu mengenai kisah kata-kata Tun Teja ini. Tetapi buku yang dibacanya dalam jawi, dan yang saya ada adalah buku bertulisan rumi.Baca satu persatu,?Sah, tertidur dulu!Hmm..Baca secara "scanning"? Mengelat namanya tu.Tidak menghayati kisah sejarah.

Tidak mengapa, naluri saya tetap ingin tahu dan saya akan membaca buku tersebut.Jadi baca sama-sama yek, boleh kongsi, apa maksud kata-kata Tun Teja tadi.:)

Nota: Kawan saya seorang ini memang pakar sejarah, jika dengar dia bercerita, pasti episod salasilah keturunan watak-watak tidak ditinggalkan.Memang best!

Just Step in In New Awesome Pudu :-)


Wah, saya dah pijak kaki di Puduraya pada hari ketiga ia dibuka, untuk melihat suasana baru yang digembar gemburkan. Subhanallah!Memang sangat cantik dan canggih.

Jika dulu tingkat satu ada kaunter tiket, kini semuanya beralih ke tingkat tiga.Berkarpet lagi!Tingkat dua masih kosong lagi, mungkin akan ada kedai-kedai makan dan kedai kecil di situ. Dan tingkat satu adalah ruang menunggu.Banyak pula tempat duduk yang selesa dengan air cond yang sejuk.Mungkin nanti semua akan menunggu dan setia dengan baju sejuk yang tebal :-)


Tempat menunggu yang menuju ke tangga platform bas
Macam jakun pula kami ke situ, tak tahu nak ke mana, nasib baik ada ramai pegawai yang menunjuk arah yang hendak dituju, dan jalan keluar.Kalau tak, boleh sesat di situ.

Yang penting saya dan Kak Nor tak melepaskan peluang untuk bergambar di Pudu pada hari ketiga dibuka.Segar dari ladang kan?Kami sebenarnya ada tugasan luar di sini.:-)Nampak muka penat kami kan?

Wah beg saya pun mahu bergambar juga atas kerusi baru tu:-P
Nota:
Saya pernah bertemu dengan seorang gadis bawah umur yang mengandung anak luar nikah di surau Pudu dan sedang lari dari gereja .Mereka sangat-sangat memerlukan bantuan kita sebagai orang Islam.Believe me!

Wednesday, April 20, 2011

Trivia Kasih Sayang

Pagi-pagi dah update blog?:-) Cuma teringat soalan trivia yang saya tujukan khas buat adik-adik saya ketika kami di kampung.Sengaja nak tengok keikhlasan mereka atas kakaknya sendiri .:-P..Boleh diuji keikhlasan itu? Terpulang kepada diri kita untuk menilai.Tapi saya juga sediakan hadiah "angpau", jika mereka punya jawapan yang sangat ikhlas.Nakal juga saya ni nak mengenakan adik-adik sendiri.



Soalannya; "Berikan beberapa sebab kenapa sayangkan kakak kamu yang seorang ini?"

Hm..Si Bongsu, Yang Ketiga dan Keempat sedia dengan jawapan yang banyak, tapi saya membiarkan sahaja sebab keikhlasan itu belum timbul , namapak mereka lebih mahukan ganjaran itu.:-P

Tetapi adik saya yang keempat memang tidak putus asa memberi jawapan kepasa soalan saya tadi.Ok.Ok. saya nampak keikhlasannya sehingga dia menarik ke saya satu ruang untuk memberi jawapannya.:-)Terima kasih adik atas jawapan yang ikhlas itu.

Yang bongsu itu juga tidak putus asa memberi jawapannya.Terkejar-kejar dan berkali-kali dia mencari saya untuk memberikan jawapannya.Biarlah saya seorang sahaja yang tahu jawapan itu ya!

Begitu juga yang ketiga, matanya yang bundar dan jernih itu bersinar-sinar ketika memberikan jawapan tersebut.Ok, dia pun dapat juga.:-)

Bahagian paling syahdu!Yang kelima, dia datang kepada saya, dan berkata "Tak tahu nak beri jawapan apa" dan dia terus menangis dan berkata sambil air matanya mengalir, "Sebab sayangkan kakak sangat-sangat!".Aduh, goyah juga saya dengan jawapan itu.Pendek tapi cukup!

Dan berakhirlah trivia kasih sayang kami.Hmm..Mula berfikir soalan trivia apa yang saya akan untuk hujung tahun ini pula ya?

Tuesday, April 19, 2011

Lindungi Aku Dari Putus Asa

Sudah beberapa kali saya dinasihatkan oleh rakan-rakan sepejabat supaya mengambil cuti rehat.Kata mereka, riak wajah saya agak "stress", penat dan macam-macam perkataan lagi.Sehinggakan saya tidak sedar ada seorang pelajar pelatih di firma saya.Tragis betul.Masih tak sempat berkenalan, memandangkan mahu susun atur amanah yang ada.

Sehinggakan saat mereka memegang bahu saya, terasa lega sekali macam berada di spa sahaja, kata mereka itu adalah tanda-tanda stress!Oh tidak! Nauzubillah!

Ada juga rakan-rakan saya, mengirim mesej maya di "YM" saya, memandangkan saya meletakkan status sibuk.Saya hanya menjawab, "Ya, sibuk dan workaholic tetapi sehingga 5.30 petang sahaja." Hehe.

Dan pagi ini, saya datang lewat ke pejabat, memnadangkan sakit kepala yang dialami akibat ditimpa hujan Kuala Lumpur semalam. Bimbang juga nak memandu dalam keadaan begini.

Dan saya ditegur dan dinasihatkan lagi oleh rakan-rakan, supaya mengambil cuti rehat untuk "refresh and recharge" .Jutaan terima kasih  atas keprihatinan semua. Insha Allah, bila tiba masanya saya akan mengambil cuti , dan izinkan saya menghabiskan apa yang patut dulu ye!:-P

Yang penting jangan putus asa.

Nota: Ada berita baik dari bos.Terima kasih bos atas keprihatinan.Alhamdulilah, syukur sangat-sangat.:-)


Ala Sehelai Pun Dah Cukup..



N : " Eh sekejapnya mengaji?"

Tersengih  S sambil menutup Al Quran mininya seusai Maghrib.

S: "Ala sehelai pun dah cukup..Hehe..Janji Baca.."

N: "Isy, bacalah lagi, nanti siapa yang nak tolong tambah pahala kat sana, awak seorang diri je yang tanggung tau, dan pilih pintu mana nak masuk..hehe"

Sampuk M pula, "Oo..kalau menghadap Facebook, berhelai-helai boleh khatam yerk, Al quran? Sehelai pun dah cukup?Tak adil betul.."

"Ish, tak sampai pula dengar macam tu, ok, nak sambung balik la baca ..Huhu.."

"Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa."

(Al-Baqarah:2)


Wednesday, April 13, 2011

Berdepan Banduan?Takut Tak?




Penjara Penor.Rabu dalam tahun 2008.pengalaman pertama saya dan rakan-rakan mengendalikan siasatan bersama banduan-banduan yang ingin memerlukan khidmat guaman .Satu pertemuan yang menentukan sama ada mereka mahu mengaku salah atau bicara(tidak mahu mengaku salah).

Sampai sahaja di pejabat pegawai penjara, kad pengenalan, barang-barang seperti handset dan beg tangan dikunci di dalam satu loker khas.Yang ada pada tangan kami hanyalah borang dan kertas kosong yang perlu dicatit semasa siasatan dijalankan.

Kami dibawa ke dalam satu bilik.Ada satu meja, tiga kerusi dam kipas siling.Sama seperti yang digambarkan di dalam televisyen.Bahang dan panas, Tambahan pula kami memakai blazer.

Seorang pegawai penjara lelaki menemani kami.Kami mendapat tahu kes yang dikendalikan melibatkan kes rogol dan rompakan berkumpulan bersenjata.Seorang banduan memakai baju merah (sedang menjalani hukuman) dan seorang lagi memakai baju ungu (masih dalam reman).

Soalan-soalan perlu details dari awal perbuatan jenayah sehigga akhir perubatan hatta niat mereka.Walaupun kami, masing-masing belum berkahwin, apabila melibatkan kes rogol, soalan-soalan perlu direct, setakat mana hubungan mereka.Berapa kali hubungan intim dilakukan, Di mana?Pukul Berapa?Dan Bagaimana?Telinga masing-masing menahan merah sahaja mendengar jawapan banduan tersebut.

Berhadapan dengan Orang Kena Tuduh (OKT) yang dituduh merompak yang sedang menjalani hukum, berparut di muka, pandangannya juga agak menusuk ke mata kami.Agak thriller.

Alhamdulilah, akhirnya tugas kami dapat diselesaikan. Cuma seorang rakan saya dari kumpulan lain, yang sedang mengandung berhadapan dengan OKT HIV.OKT ini hanya memberitahu rakan saya hanya selepas dia bersin ke arah rakan saya.Mahu tak berderau jantung.T.T Tapi HIV tak berjangkit melaui bersin kan?Cuma hati pasti ada sedikit risau kan?

Yang menariknya di sini, kehadiran kami betul-betul dikawalrapi oleh pegawai-pegawai penjara, hanya keluar pintu pun, diiring dengan seorang pegawai. Mahu ke tandas sekejap pun, seorang pegawai di depan pintu tandas, seorang lagi di pintu luar.Terkejut juga, Tapi aspek keselamatan perlu dijaga kan?

Ok.Nak tahu pengalaman pertama saya dalam bidang jenayah?Kes sebutan seorang guru dituduh mencabul anak muridnya dan kes bicara pertama saya, kes penyundalan.Saya hanya membantu untuk mengikuti prosedur dan mitigasi (pengurangan hukuman).Sekarang dah tak buat dah, saya hanya mahu fokus kepakaran yang lain sahaja tetapi masih dalam bidang yang sama..:-)

Nota:
Teringat hujung bulan lepas, OKT bermain mata ketika berselisih dengannya.Keluar sahaja dari pintu.Rasa loya dan nak muntah aje.Kemudian baru saya dapat tahu, dia di bawah pertuduhan kes rogol beramai-ramai.Patut Pun!T.T


Sunday, April 10, 2011

Biarkan Mereka Berkata-Kata...


"Geram betul akak ngan diaorang tu, Ingatkan akak ni tak tau ke yang diaorang tu tengah kutuk akak?" ujarnya seorang kawan yang saya anggap seperti kakak sendiri.

Sambungnya lagi, " Siap berbisik-bisik dan menjeling tu, tu yang part paling tak tahan tu.."

Sambil itu kami duduk di tempat makan yang berdekatan sambil menunggu bubur nasi kegemaran kami tiba

"Sabar kak,biarlah apa yang diaorang nak kata, terasa ke, apa-apa ke, kalaulah mereka tahu setiap kata-kata yang dikeluarkan mereka itu akan dihisab, mesti diaorang akan berhenti berkata tentang orang, kan."


Tetiba saya terbayangkan pula anak-anak muda yang kini bangga memakai pakaian trendy mereka, andailah mereka tahu pakaian-pakaian meraka akan dihisab satu persatu di padang Masyhar nanti, pasti anak-anak muda itu  akan memakai pakaian yang menutup aurat dan longgar.

Wallahu alam.



Saturday, April 9, 2011

Usikan-Usikan "Long Call"


Jumaat pagi.Menghadiri Majlis Penerimaan Masuk Peguambela Dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya seorang pelatih di firma kami.Terima kasih banyak dan Tahniah buat Hidayah, kerana menyebut nama penuh akak dalam petisyen kamu sebagai penghargaan.Tak sangka pula diri ini dihargai .Cewah!

Teringat pula kenangan saya dua tahun yang lepas.06.05.2009.

"Pupil" bersama "master" dan ibunda..:-)

Majlis ini juga lebih dikenali oleh kami sebagai "Long Call".Dalam erti kata lain kami mendapat lesen untuk menjadi pengamal perundangan di Malaysia selepas 9 bulan berda di dalam tempoh latihan.Kalau di tempat saya, Majlis ini umpama konvo. "grand as convocation"..meriah dan rasa sangat-sangat dihargai.

Mahu tidaknya, dihadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi, barisan peguam-peguam senior dan ahli keurag terutamanya, latar belakang kita dibaca seolah-olah kitalah tokoh pada hari itu tersebut.Mahu tak terharu.Sejarah keluarga,sumbangan kitakan didengar satu persatu semasa petisyen dibaca. 

Saat setiap pihak mengumumkan tiada bantahan terhadap suratcara-suratcara, seolah-olah seperti saksi-saksi di majlis perkahwinan mengatakan "sah!", satu nafas lega dilepaskan.Alhamdulilah semuanya berjalan lancar.

Yang lebih terharu, apabila petisyen itu diterima, Master akan menyarungkan "robe" (macam yang saya pakai di gambar di atas ataupun jubah mahkamah yang hanya di pakai di mahkamah terbuka di mahkamah Tinggi sahaja) kepada pelatih, sebagai tanda tamat tempoh latihan tempoh menjadi "pupil" di bawah bimbingannya.

Master,Pupil, Mover dan Ibunda.
Jika di majlis konvo, kita akan menyarungkan sendiri jubah kan?Sebab tu saya kata majlis ini sangat best.Bak kata-kata, senior, ini adalah majlis kedua terbesar selepas konvokesyen dan kenduri kahwin.:-P

Kalau bernasib baik ada jambangan bunga yang dihadiahkan oleh sahabat-sahabat baik.Tetapi kehadiran mereka di majlis sangatlah penting sebagai rangsangan semangat.Ahli keluarga pula adalah dorongan utama diri.

"Master" adalah  gelaran bagi peguam senior yang membimbing kita selama dalam tempoh 9 bulan menjadi pelatih, "Mover", adalah orang yang membacakan permohonon petisyen, "Pupil" adalah peguam pelatih atau pelatih dalam kamar.

Farhana bersama keluarga dan Master pada long call pada hari yang sama


Antara usikan-usikan sebelum majlis ini, biasanya, "Tidur awal-awal, esok nak jadi pengantin baru kat Mahkamah" T.T.."ha, nanti jangan lupa jamu pulut kuning" atau "Lepas ni tak leh panggil nama dah, kena panggil Cik atau Puan.." Tak sanggup juga menerima panggilan seperti itu daripada kakitangan-kakitangan kerana dah anggap mereka semua seperti ahli keluarga sendiri.

Jamuan ringkas pun ada juga untuk meraikan mereka yang memberi tunjuk ajar selama tempoh latihan.

Dan sekarang dan secara ekslusifnya, inilah kamar kecil saya dalam menjadi wakalah umat.Bilik yang penuh dengan semangat yang membara!:-)



Sekarang fail dah memenuhi meja tahap CCU.Banyakkan minyak angin cap kapak aje untuk melegakan sakit kepala:-P


Thursday, April 7, 2011

Kesilapan itu Membuat Kita Memperbaiki Diri

 Seorang Sufi pernah bermadah:

" Adakalanya kesalahan itu membuatkan seseorang itu memperbaiki diri.
Tidak pernah bersalah itu boleh mendatangkan sombong diri."

Tidakkah beruntung mencuba biarpun terpaksa berbuat salah daripada pasrah tidak menentu?

Kadang-kadang kita seringkali menyesal jika tersilap langkah dalam membuat sesuatu keputusan. Ketepikan rasa penyesalan itu.Pandang ke depan dan buat "Backup Plan" dan jalan alternatif dalam memperbaiki diri.Begitulah cara bagaimana kita kita mengawal minda kita supaya lebih positif.Jika asyik berfikir perkara yang rumit dan yang remeh cuba diperbesarkan, kesudahannya tiada jalan keluar.


Bukanlah Allah s.w.t telah menjanjikan hambaNya itu dari jalan yang keluar yang tidak sangka?Just put your believe 500% into HIM.Pasti ada magikanya.Cuma sabar itu perlu lebih.Bukan senangkan nak dapatkan kesabaran yang begitu sempurna sebagaimana Rasullullah menyebarkan dakwah Islam, sesabar mana sehingga dilempar najis, batu dan sebagainya.

Agak-agaknya, kesabaran kita dah sampai tahap mana ye?

Nota: Pening kepala litigasi dan telefon tangan yang meragam.T.T


Wednesday, April 6, 2011

Tanggapan Pertama Itu Membuat Saya Tersenyum


Lokasi Masjid, ada seorang sahabat adik saya bertanya; "Kakak kamu tu doktor yea?"Terkesima saya di situ. Oh! ada gaya doktor rupanya saya walaupun cita-cita itu tidak kesampaian.

Lokasi kedua, di Mahkamah Tinggi sambil menunggu kes rayuan saya dipanggil ke dalam kamar , seorang peguam junior menegur, "Kakak ni Peguam Persekutuan yea?"

Peguam junior itu menyambung lagi."Tapi, akak ada juga gaya doktor.Doktor UIA." Sekali lagi dianggap sebagai doktor.T.T

Lokasi ketiga, bank, seorang bekas guru saya, "Kamu dah jadi peguam ye?", sambil memegang lengan saya kemas, matanya memandang kejap  dari hujung kepala ke hujung kaki.Tak percaya agaknya.Kecil dan yang penting tak nampak garang kot.:-)

Saya hanya tersenyum sahaja.Adoi, macam-macam.

Terima kasih atas tanggapan positif kawan-kawan.:-)


Tuesday, April 5, 2011

Cita-citaku Setinggi Awan Tetapi Amanah Itu Harus Diteruskan


Dulu-dulu ketika menuntut ilmu di menara gading, suka sangat mencontengkan nama saya dengan pangkal nama Prof. Madya, membayangkan diri di sidang parlimen dengan membentangkan usul undang -undang baru untuk kemaslahatan sejagat untuk mengembalikan perundangan Islam di tanah air tercinta.

Sering kawan-kawan saya mengusulkan untuk melanjutkan "Master", katanya saya  rajin dan  pandai mengolah idea (ye ke?huhu), kalau buat tesis, pasti ia sesuatu yang mengujakan.Waallahualam, saya juga tidak tahu kemampuan saya setakat mana.Semuanya dengan izin Allah jua.

Bahkan untuk untuk mendapat CGPA pun, saya membayangkan nama saya disenaraikan di dalam senarai graduan dengan tanda bintang (simbol CGPA cemerlang).Alhamdulilah, yang itu saya dapat dengan izin dan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT.Terima kasih Ya Rabb atas segala kurniaan walau terpaksa berperang dengan emosi dengan segala dugaan.

Kuatnya angan-angan saya kan?

Kini, segalanya-galanya berubah.Bila kehilangan orang yang tersayang, prioriti hidup saya juga turut berubah.

Jika dulu saya membayangkan bekerja di Palace of Justice, Putrajaya, saya hanya mampu melihat kejayaan rakan-rakan saya. Majistret?Timbalan Pendakwaraya?Federal Counsel?Registrar?Pegawai Undang-Undang?Penasihat Undang-Undang? Entah apa lagi yang jawatan hebat mereka.Tetapi yang pasti itu yang saya idamkan selama saya belajar ilmu perundangan di Taman Ilmu Dan Budi.

Cukup seronok melihat perkembangan rakan-rakan.Apatah lagi bekerja di kota metropolitan Sedikit sebanyak hati saya terdetik rasa cemburu .

Tetapi kini, ada juga tawaran untuk bekerja di kota metropolitan, saya tolak baik-baik setelah beristikharah dan ketepikan cita-cita saya.Kerana bila saya di satu daerah yang kecil sekarang, rupanya ramai lagi umat yang memerlukan khidmat saya walaupun ia satu komuniti yang kecil.Komuniti yang kecil ini yang sebenarnya memerlukan khidmat kita dan harus ditarbiyahkan satu persatu.

Teringat satu cerita, sepupu saya keluar bermujahadah di satu daerah kecil di Sarawak.Katanya, rupanya ramai yang ketandusan ilmu agama, yang harus ditarbiyahkan, ramai juga yang telah murtad  akibat tiada siapa yang sudi menjengah mereka untuk mengajar solat dan membaca Al-Quran.Perkara yang asas tetapi sangat-sangat penting! 

Bukan itu sahaja, saya di sini, di daerah yang kecil berbanding kota metropolitan yang diulit angka-angka gaji yang tinggi ikhlas mahu berjasa dengan ibunda , keluarga tercinta dan komuniti di sini. Banyak yang harus diperbetulkan. Saya harus bantu dengan apa yang ada selagi nadi saya ada.Kalau bukan saya siapa lagi.?

Mahu lakukan yang terbaik walau ada sedikit cela dari diri ini.

Sungguh itu suatu keputusan yang sukar sebenarnya tetapi ia sangat mendatangkan kepuasan.

Jika kita hanya berada di kalangan yang baik-baik dan beragama, mungkin akan dipelihara pegangan kita. Tetapi, bila kita di kalangan mereka yang lain, disitulah iman kita mula teruji. Sambutlah cabaran dakwah di situ kerana Sunnah Rasullullah! Semoga Allah sentiasa memberikan petunjuk dan kekuatan buat diri kita.Ameen.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...