Friday, December 31, 2010

Sambut Krismas Melalui Identiti Seorang Muslim


Saya sekeluarga serba salah apabila kami dijemput jiran ke rumahnya yang menyambut Perayaan Krismas.Terfikir di hati saya, halalkah makanan yang mereka hidangkan?Bersihkah?Tetapi setelah membuat "research", saya menjumpai jawapan yang sesuai .Sahabat-sahabat semua boleh klik di sini dan di sini untuk membacanya lebih lanjut .

Apa yang menggembirakan hati saya, jiran kami seperti tahu yang kami agak waswas hendak menjamah makanan di rumahnya,lalu dia menempah makanan yang dimasak orang Islam, memasak ayam dari yang telah disembelih.Jawapan itu menghilangkan kegusaran kami.Berkali-kali dia meyakinkan kami sekeluarga.

Inilah hidangan mereka .:-) ada 4 pilihan...

Tambah-tambah pula kami berjiran sebelah pintu dan mereka bukanlan golongan "harbi", dan niat harus dibetulkan iaitu semangat kejiranan harus dipupuk.Apatah lagi mereka sering membantu kami walaupun berlainan agama. Saya juga mahu menunjukkan Islam itu mengajar kami hidup bermasyarakat dan menghormati jiran-jiran. 

Indahnya hidup bermasyarakat kan?
Jiran kami ini hasil dari perkahwinan campur, ayahnya berdarah cina, si ibu berdarah India. Ada dua orang anak, perempuan dan lelaki .Yang perempuan itu sebaya saya , memang berkawan baik walaupun kami jarang berjumpa.Kalau nak tahu dialah yang banyak membantu saya ketika mengambil kereta baru. Terima kasih banyak-banyak Rebecca :-) Suka kawan dengan awak.Cuma tak pernah bertemu dengan adik lelakinya Aaron yang bekerja di kotaraya.Sibuk barangkali.

Dapat juga bergambar berlatang belakangkan pokok krismas.
Kesimpulannya, jika kita menghormati jiran dan menjaga hubungan, mereka juga akan menghormati dan memahami kita.:-)

P/S: Esoknya Aaron ada cakap dengan ibunya, yang saya ni "cute"?Nak tergelak rasanya.Anyway thanks Aaron. Nice to meet you too..Yang "cute" itu semuanya dari Allah..:-)

Wednesday, December 29, 2010

My Muffin =)


Entri kali ini santai-santai sahaja ye.Saja nak berkongsi koleksi gambar muffin jagung  berkukus "homemade".Gambar ini sebenarnya dah lama terkunci di handphone, baru sekarang rasa nak berkongsi dengan sahabat-sahabat semua. Cara memasaknya pun mudah, ambil dari resipi Chef Haniliza.:-)

Bahan-bahannya, 2 cawan tepung gandum, 1 susu teh baking powder, 1 sudu teh soda bikarbonat, 1 sudu teh garam, 1 cawan jagung krim dalam tin, 1 cawan minyak masak, 1 cawan gula pasir dan 1 biji telur. Kesemua bahan ini harus dikacau rata.Senang kan?

Bahan-bahan yang telah siap diletakkan dalam acuan.


Masukkan dalam periuk kukus pula.Kukus dalam 25-30 minit dengan air yang sedia mendidih.


Dah siap.Jom baca doa makan dulu yek.

Sebelum tu apa kata kita semak dulu adab-adab makan sebagai peringatan buat diri yang sering lupa dan lalai.Pantang nampak makanan yang sedap, pasti kita lupa tentang adab-adab makan kan?Jom cek sama-sama ya.

•  Membaca doa sebelum makan.
•  Makanan dan minuman dari sumber yang halal
•  Membasuh tangan sebelum dan sesudah makan
•  Duduk ketika makan dan makan menggunakan tangan kanan
•  Menyukai makanan yang ada dan tidak mencela makanan
•  Mulakan dengan Bismillah
•  Hendaklah makan dengan tiga jari dan mengecilkan suapan
•  Hendaklah mengunyah dengan baik
•  Tidak meniup makanan yang panas
•  Tidak bernafas di dalam gelas ketika minum
•  Tidak makan terlalu kenyang
•  Tidak memulakan makan kecuali orang yang lebih tua menjamah dahulu
•  Bila selesai makan ucaplah Alhamdulillah


Sumber: http://www.islamduniaku.com.

"Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.' ( Al-Baqarah : 172)

Friday, December 24, 2010

Rupanya Didikan Itu Masih Belum Sempurna

Dalam diam, saya sering mengagumi keluarga yang berjaya mendidik anak-anak mereka baik dari segi bekalan duniawi ataupun ukhrawi.Apakah rahsia dan resepi mereka dalam mendidik anak-anak mereka.Apakah jenis tarbiyyah yang diberikan sedari kecil sehingga mereka dewasa.

Tetapi bagaimana pula, jika sesebuah keluarga itu mempunyai seorang ayah dan ibu mithali yang tidak kurang hebatnya.Mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyyah  yang tersendiri, malah sentiasa menghidupkan amalan solat berjemaah, menghafal surah-surah amalan, saling ingat mengingati sesama keluarga jika ada kesilapan.

Keluarga bahagia En. Google:-)

Tiba-tiba didatangkan ujian untuk mereka, apabila salah seorang anak mula yang telah ditarbiyyah dari kecil meninggalkan pesan-pesan ayah dan ibu mithali tadi.Aurat yang sering ditutup terbuka tanpa sedar kerana hatinya terusik dengan godaan dunia.Pergaulan mereka mula tiada batas dan sempadannya.

Mungkin ada yang kata " Iman ibu dan ayah mithali tadi sedang diuji oleh Allah s.w.t..."

Ada juga yang berkata, " Harus bersangka baik dengan takdir Allah,pasti ada hikmahnya terjadi begitu.."

Maka,benarlah iman itu tidak boleh diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa.

Tetapi, ada jawapan di antara mereka yang menarik di hati saya, " Allah nak ingatkan sesebuah keluarga itu, walau macam mana pun hebatnya tarbiyyah mereka, didikan mereka masih belum sempuna lagi, dan didikan itu harus berpanjangan, janganlah dilepaskan tangan anak-anak walaupun mereka meningkat dewasa,  dan dapat membezakan baik dan buruk..."

Dan saya pasti tugas ibu dan ayah ibu itu tidak berpenghujung rupanya.

Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksaan api neraka" (At-Tahrim :6 )

Wednesday, December 22, 2010

COVER YOUR AURAT CAMPAIGN | SHOW YOUR SUPPORT!



Sebagai menyahut seruan "Cover Your Aurat Campaign Show Your Support" oleh Asyfiqaz, saya pasti  rata-rata semuanya mengetahui konsep aurat bagi wanita memakai tudung, dan lelaki , auratnya dari pusat ke lutut.

Tapi, janganlah hanya sekadar memakai tudung untuk menutup rambut sahaja atau sebagai trend, labuhkanlah tudung dan pastikan  tudung itu tidak jarang sebagaimana firman Alah s.w.t. dan hiasilah diri kamu secantik tudung yang disarung.

Namun, seringkali berlaku situasi begini, bilamana kita berhadapan dengan saudara atau sepupu lelaki( bagi perempuan khususnya), tudung ini seringkali diabaikan atas alasan, "Ala...dari kecil dah biasa, dah macam adik beradik dah, takkan nak pakai tudung juga.." atau "Tak bolehlah pakai tudung deapn diaorang, rasa cam pelik je sebab dah biasa.."

Janganlah menjadikan kebiasaan sebagai teman sejak kecil itu sebagai penghalang menutup aurat ye.Laksanakan perintah wajib ini.Bukanlah sekadar menunggu "seru" dan petunjuk kerana petunjuk itu sudah jelas di keliling kita.Ada Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber kita.Nah, mahu sangkal lagi tak dapat "seru"?

Satu situasi lagi, maaf andai kata anda terasa, tapi inilah yang sering saya nampak di rumah bujang perempuan terutamanya, apabila menjemur kain di hadapan rumah.Walaupun hanya di koridor, tutuplah aurat kamu ye.Jiran-jiran lelaki kamu memerhati dalam diam, mungkin dari daun-daun tingkap rumah mereka tanpa sedar.Kan, tak manis begitu untuk imej muslimah kamu.


pic comel dari En. Google


"Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"
(Al Ahzab : 59)


Tuesday, December 21, 2010

Khabar Iman Dari Al-Zalzalah

Lokasi di kelas tilawah, seorang pelajar muslimah Singapura mengalunkan bacaan surah lazim Al-Zalzalah.Bacaannya tidaklah bertaranum, cuma bacaan yang mengikut tajwid sahaja.Diikuti suara yang agak serak-serak basah.

Entah kenapa tiba-tiba hati rasa sayu mendengarkan bacaannya.telalu menusuk hati.Bacaannya yang agak mendatar, membuatkan saya sempat menghayati terjemahannya.Hampir satu kelas senyap, menahan sebak air mata.Bacaannya seperti orang yang menangis.


Dengan Nama Allah, yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

1. Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
2. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
3. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"
4. Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:
5. Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).
6. Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
7. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!.
8.Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar dzarrah, nescaya akan dilihatnya(dalam surat amalnya)!.

Ingatkan hati saya saja yang sebak, rupanya hati ustaz yang mendengar pun terusik jua,"Mm..kamu menangiskah?" tanyanya kepada pelajar muslimah dari Singapura."Taklah ustaz, memang suara saya begini..." ujarnya sebaik sahaja menghabiskan surah tersebut.Betapa kesannya alunan suara itu dalam memberi peringatan kepada kami dan percaya atau tidak, suaranya masih segar dalam ingatan saya.

Sungguh, walaupun surah ini sentiasa di dalam bacaan saya, tidak pernah saya menghayatinya sebegitu rupa.Hendak memulakan ayat pertama itu, rasa sukar sekali tatakala melihat tafsirnya.

Dengan membayangkan bumi digegarkan sedahsyat-dahsyatnya, rasa takut itu menular di dalam hati.Itulah petanda akhir zaman.Adakah kita sudah bersedia dengan amalan kebaikan kita..?

Akhir tinta, hayati bait-bait lirik Khabar Iman dari Raihan buat peringatan kita semua.Wallahualam..


Nota :Sudahkah anda menghayati khabar iman dari Surah Al-Zalzalah?

Sunday, December 19, 2010

Tambang Separuh Harga

Musim-musim tengkujuh begini, saya tidak punya kekuatan untuk memandu jauh seorang diri.Menaiki pengangkutan awam adalah pilihan tepat untuk saya bermusafir ke kotaraya, Kuala Lumpur.Dengan menggalas beg galas yang penuh buku dan fail peribadi bagi persediaan temuduga dan beg troli, saya berdoa supaya ada teksi untuk ke terminal tepat pada waktunya.

Teksi Saga dari Encik Google:-)
Sampai sahaja di jalan utama, sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapan saya. Masih ada satu jam lagi sebelum bas ekspress saya berangkat.Jadi tak perlulah saya mendesak pemandu teksi tersebut mengejar trafik kan?

"Pakcik, terminal ye.." sambil adjust beg-beg saya di tempat duduk penumpang.
"Boleh, Adik ni dari mana ke mana?Macam nak pergi tempat jauh je ngan beg troli, sambung belajar ke?
"Oh, takdelah pakcik, saya nak ke KL, ada urusan di sana.."
"Belajar lagi?
" Takdelah, saya dah bekerja pakcik.."
"Pakcik ingatkan kamu ni belajar, dapatlah separuh harga tambang...Kalau kamu pakai baju sekolah pun, mesti orang percaya punya..
"Ada aje pakcik ni, boleh je saya nak bagi kad matrik pelajar, kalau saya nak ambil kesempatan, tapi kad pengenalan saya tak boleh tipu pakcik..he2.."

Bukan sekali ini sahaja orang kata saya ni macam budak sekolah, mungkin saya yang agak kecil dan muka keanak-anakan saya (cewah) merupakan pandangan pertama mereka terhadap saya. 

Di tempat kerja saya sendiri pun, mereka sering mengusik saya ,"Eh, macam mana ada budak sekolah kerja kat sini ye.." sambil memandang kasut saya yang bersaiz 4..(kecil kan si kaki Cinderella ni..)

Pernah juga saya menaiki bas lompat-lompat, dan saya dikenakan dengan harga tambang pelajar, bukan sekali sekala sahaja..dan bukanlah saya sengaja yang mengambil kesempatan. Cuma saya menjadi mangsa keadaan (ye ke?).Rezeki jangan ditolak kan?

Tapi apa yang saya nak sampaikan, janganlah kita menilai orang daripada pandangan pertama ya.Kecil-kecil cili padi ye..;-)

Nota: Pakcik teksi di atas bagi saya tambang separuh harga walaupun saya sudah bekerja..;-)Terima kasih pakcik teksi..

Sarapan Pagi Bersama Nuur Cafe..:-)

Assalamualaikum semua,

Semangat pagi dari iluvislam.com;-)
  
Rasanya ramai yang tahu betapa pentingnya sarapan . Walau tak sempat macam mana pun, kita harus mengalas perut supaya dapat membekalkan tenaga untuk memulakan hari-hari kita.Tak kisahlah makanan apa sekalipun tapi jangalah ambil menu yang berat ye..ambil menu yang hanya untuk mengalas perut sahaja.

Salah satu kegemaran "breakfast" saya!Nuur Cafe, satu keluaran dari pakcik sepupu saya, Ustaz Mokhtar Senik. Best juga, sebab rasa tak rasa kafein sekuat nescafe.Tak percaya cubalah ye.Kalau ada stok, memang yang ini saya capai dulu.:-)


Produk ini pun baru lagi keluar di pasaran, saya pun ambil produk ini, bila menziarahi rumah dia atau berjumpa di kampung halaman.Produk yang berasaskan makanan sunnah habbatus sauda, kurma , kismis, zaitun dan buah tin..


Sengaja saya letakkan gambar-gambar rakan seperjuangan di universiti membuat pembakar semangat dan inspirasi diri untuk terus menjadi yang terbaik.Amin...

Poster Nuur Cafe dan anak-anak dia;-)

Jadi bila dah sarapan, kita pun jadi senang hati untuk melaksanakan amanah-amanah yang diberikan.

Wednesday, December 15, 2010

Kelayakan Peguam Syarie

Assalamualaikum wbt.


Lagi dua hari, saya bakal ditemuduga sebagai Peguam Syarie Pahang .Lulus atau tidak terpulang kepada usaha dan rezeki yang ditentukan oleh Allah s.w.t, tapi apa yang saya harapkan supaya lebih ramai golongan muda memasuki dan menyahut profesion ini sebagai satu keperluan masyarakat dan bukanlah hanya memandang kepada status profession dan minat. Ini kerana, kekurangan golongan peguam syariah mempengaruhi lambakan kes-kes keluarga Islam yang makin meruncing. Lihat sahaja masalah sosial, penceraian yang sentiasa berlaku setiap hari.Amat membimbangkan hati saya. Malah mungkin hati sahabat-sahabat semua.

Saya juga melihat perjalanan sejarah dan biografi tokoh-tokoh Islam terdahulu, mereka bukan sekadar bijak dalam sains, matematik dan dunia perubatan, malah asas pengetahuan mereka adalah syariah.Hebat dan mantapnya mereka dalam dunia ilmu masing-masing.

Jom kita tengok kelayakan-kelayakannya (Hanya untuk Negeri Pahang sahaja ya).Setiap negeri kelayakannya adalah berlainan ya.Terpulang kepada pentadbiran mereka.

Kelayakan Peguam Syarie. 
Sumber: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
Seseorang yang memohon untuk menjadi Peguam Syariah hendaklah mempunyai kelayakan seperti berikut-
  • Beragama Islam dan telah lulus peperiksaan akhir yang membawa kepada ijazah sarjana muda Syariah  daripada Universiti AI-Azhar atau mana-mana institusi pengajian Islam yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia atau Kerajaan Negeri; 
  • atau  adalah seorang peguambela atau peguamcara beragama Islam yang didaftaraikan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 [Akta 166]; 
  • atau telah berkhidmat sebagai Kadi dengan mana-mana Kerajaan Negeri di dalam Malaysia selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun;
  • telah mencapai umur dua puluh satu tahun;
  • berkelakuan baik dan
  • tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apaapa kesalahan jenayah;
  • tidak pernah dihukum menjadi bankrap;
  • warganegara atau pemastautin tetap Malaysia; dan
  • sebagai peguambela dan peguamcara, telah lulus peperiksaan Sijil Peguam Syariah.
Nota: Doakan saya supaya dipermudahkan urusan, diberikan kekuatan untuk menghadapi apa jua cabaran. Gagal sekali tak bermakna kita gagal untuk selama-lamanya dan Allah s.w.t sentiasa bersama-sama kita:-)

Sunday, December 12, 2010

Rezeki Itu Datang Dari Allah

Bulan lepas saya terpaksa berjimat-cermat selepas kereta kesayangan saya mengalami sindrom tayar bengkak.Puas saya fikir di mana puncanya.Rasanya hanya berlegar di sini sahaja.

Bak kata rakan sepejabat saya, "Kereta awak lasak ke mana sampai tayar bengkak, kereta saya lagi lasak ". Dalam hati saya , terdetik untuk berkata;"Oh, asal pemandu perempuan , kereta pun tak lasak la ya.."

Tapi sebenarnya kereta itu hanya tidak  menjejak ke bahagian utara sahaja dalam tempoh setahun. Kereta itulah yang digunakan untuk majlis konvokesyen dan pendaftaran ke universiti adik-adik saya. Kereta itulah yang membawa kebahagiaan kepada kami setelah bertahun kami menaiki teksi dan bas ekspress.Ibunda saya pernah cakap "Akaklah jadi pengganti arwah abah, bawa satu keluarga ke sana dan ke sini" Beratnya tanggungjawab dan amanah itu.

Mungkin saya harus akui, sebagai perempuan, saya tak mahir menjaga kereta, tapi servisnya dan kepekaan terhadap bunyi enjn tetap saya lakukan.

Berbalik kepada cerita asal, nasib baik saya sentiasa peruntukkan perbelanjaan kecemasan jika berlaku apa-apa.Tak perlulah saya menggaru kepala untuk mencari kos sebanyak itu.Menukar tayar kereta yang sedia bengkak itu bukannya suatu kos yang murah untuk saya. Banyak perbelanjaan yang lain yang saya harus lakukan.

Dan bulan ini saya berkira-kira mahu "top-up" balik perbelanjaan kecemasan saya.Mungkin mencongak-congak bonus yang saya akan terima hujung tahun ini.He2..



Rupanya Allah sudah tentukan rezeki saya tanpa disangka.Dapat elaun tambahan di pertengahan bulan yang sedikit sebanyak cukup  untuk "top-up" perbelanjaan kecemasan saya pada masa akan datang.Dan saya pasti bahawa Dia sentiasa di sisi hambaNya yang sentiasa mengingatinya walaupun kadang-kadang saya ini hamba yang alpa. Dan, saya teringat akan Firman Allah s.w.t , dalam Surah At-Talaaq : 2;

" ..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya),nescaya Allah akan mengadakannya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.."

Halimatun Saadiah- Pemula Muqadimmah

12 Disember, tarikh kelahiran adik perempuan bongsu saya, . Kami memang dilahirkan dalam bulan yang sama, Disember .Adik-adik saya yang lain kata, kami punya banyak persamaan. Anak musim tengkujuh yang mudah mengalirkan air mata T.T.


Sekarang baru saya sedar, aura nama ibu susu Nabi Muhammad s.a.w itu ada dalam dirinya.Sebab apa? Sebab semua bayi dan kanak-kanak sukakan dia.Bayi yang sukar dipujuk pun boleh dia "tackle". Sentuhan emas betul. Jaranglah budak- budak kecil tak suka dia.Thumbs up!

Gambar kat atas tu pun, gambar dia tidurkan anak sepupu, lena betul.

Apa-apa pun, jangan marah akak ye Matun, cuma mengagumi bakat dan aura yang ada tanpa sedar.

SELAMAT HARI LAHIR MATUN!
Jangan mudah putus asa tau:-)

Nota: Pentingnya nama dalam mempengaruhi hidup seseorang kan?

Friday, December 10, 2010

Dapat Hadiah Hari Lahir..:-)

Seronoknya hari ni, ingat nak cari buku ni, tapi seorang kawan menawarkan buku ini sebagai hadiah hari lahir saya..siap poslaju ke pejabat lagi.Dahla baru balik dari sambung bicara, terubat rasa letih menyalin keterangan saksi-saksi bagi membantu rakan seperjuangan saya.

Tajuk buku, Nota Hati Seorang Lelaki karya Pahrol Mohd Juoi. Sebelum ini pun saya ada koleksi bukunya.Bolehlah menambah koleksi buku motivasi yang ada.


Inilah bukunya.Kalau sesiapa nak bagi hadiah buku kat saya, satu kampung saya tadahkan, sebab saya ini memang ulat buku.Tambah  lagi, buku yang boleh dijadikan panduan hidup.(Novel tak layan sangat ye..)


Dapat sahaja buku ni, terus cop nama.Oh, No. Kad pengenalan kena dihitamkan, takut disalahgunakan pula kan. Cop tarikh terima sekali. Sudah menjadi kebiasaan saya, apabila membeli buku, saya mesti nak tulis nama dan tarikh beli supaya saya dapat tahu "usia" buku tu.(Ikut habit arwah ayah sekali agaknya).


Sahabat saya yang hadiahkan buku..Gambar ini diambil dalam perjalanan ke Ipoh, Perak bagi menghadiri Walimatul Urus sahabat baik saya juga.;)

Terima kasih banyak-banyak ya Fuza!:-)Seronok sangat...

Buat renungan bersama ya;

Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 
" Sesiapa yang suka dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Thursday, December 9, 2010

Bantuanku diperlukan, Sambung Bicara Di Mahkamah Sesyen!

Semalam, saya telah pun dimaklumkan untuk "on-call"  untuk dua kes bicara, kes pecah amanah dan saman malu bagi membantu rakan seperjuangan saya. Perasaan?Usah cakap, sambil memandu pun terketar kaki tau.Nasib baik sebelum keluar, sempat juga "attend" klien dan menyelesaikan masalah jual beli mereka.Alhamdulilah!

Inilah tempat kes-kes mahkamah tinggi dijalankan..

Tanpa sempat untuk  menutup penghawa dingin, lampu di bilik pejabat, saya bergegas keluar ke mahkamah. (Berkemungkinan besar kami akan balik dalam 5.30petang, dan tak sempat nak balik ke pejabat sebentar, nampak tak kekalutan di situ?huk2) 

Menurut sahabat saya, bukti-bukti baru yang hendak dimasukkan mendapat banyak bantahan dari pihak lawan.Agak tertekan juga mendengar suara pihak lawan plus intonasi mereka yang sengaja untuk membuli kami selaku peguam junior.

Kami menyemak  kembali "evidence act", bahawa di Malaysia, sebarang bukti baru ketika perbicaraan dijalankan sepatutnya diterima dan tidak ada isu bukti tersebut diperolehi secara "illegal" untuk dijustifikasi.Lega sikit tapi masih berdebar menanti keputusan tuan hakim.


Alhamdulilah, hakim menyebelahi pihak kami dan bukti baru itu diterima dan pihak lawan harus "cross exam" bukti baru kami. Saksi yang kami ada juga sangat pandai menepis soal balas dari pihak lawan atas pengetahuan beliau mengenai pecah amanah yang berlaku.Kami sama-sama menarik nafas yang sangat panjang tanda lega. Auranya sampai terkena pada jurubahasa mahkamah dan polis pengiring .

Mereka juga teruja melihat kes bicara kami, kata mereka agak panas dan dramatik.betul ke?

Kes disambung esok bagi saksi ke-3,4,5. Macam berita pula ya. Doakan kami ya, jangan biarkan si penyeleweng itu teus melakukan perbuatannya.Asyik nak menganiaya orang ajer..

Buat renungan bersama;

"Jika kamu (dalam perang Uhud) mendapat luka, sesungguhnya kaum (musyrik) itu pula mendapat luka yang serupa (dalam perang Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan dan kekalahan), Kami pergilirkan di antara sesama manusia..."
Surah Ali -'Imran:140

Tuesday, December 7, 2010

Anjakan Maal Hijrah


Mungkin saya sudah terlewat untuk entri Maal Hijrah, Tetapi saya yakin, belum terlambat untuk saya menyampaikan pesan-pesan yang baik buat rakan-rakan maya semua.

Sempena Maal Hijrah, banyak program televisyen yang memaparkan mesej-mesej penghijrahan dari yang kurang baik kepada baik dari segi akidah, pegangan, dan ibadat. Betapa pentingnya peranan media dalam menghidupkan Maal Hijrah. Bak kata ibunda saya, asyik-asyik cerita orang yang tak tahu sembahyang!

Tetapi itulah realitinya hidup, kerana solat itu merupakan cara hidup kita.Sempurna wudhu, sempurna solat akan mempengaruhi gaya hidup kita.Dan saya  pasti dalam kesibukan kita melakukan kerja dunia , pasti ada waktu solat  kita yang tergelincir yang sepatutnya dikerjakan pada awal waktu.

Saya juga memerhati gelagat-gelagat kita apabila tiba di awal muharam, azam mereka untuk berubah terlalu umum.Saya rasa kita perlu spesifikkan lagi antara hubungan kita dengan Allah s.w.t, Rasullullah s.aw.,ibu bapa, diri kita dan rakan dan lebih kepada pelaksanaan dan bukanlah hanya omongan kosong sahaja sebagai umat Islam yang bijaksana.Ayuh kita "upgrade" kan diri kita..;)

HIJRAH HUBUNGAN DENGAN ALLAH

Jika rakan-rakan mahu khatamkan Al-Quran dalam masa sebulan, boleh amalkan 5 mukasurat setiap kali selepas solat.Oleh itu dalam 5 waktu, secara automatik kita sudah menghabiskan satu juzuk.30 hari 30 juzuk.Maka dalam setahun, anda telah khatam 12 kali .Bukankah itu satu pencapaian yang bagus dalam satu tahun!

Berusaha untuk solat Dhuha walau sesibuk mana pun
Apa yang saya cadangkan, sebelum pergi bekerja (bagi perempuan khususnya, mungkin akan mengambil masa bagi kita jika hendak ambil air sembahyang di tempat bekerja, cabut tudung dan sebagainya.)Ambillah air sembahyang dan cuba kekalkan wudhu tersebut sehingga kita boleh menunaikan Solat Dhuha.Sekejap sahaja kan?Kalau hendak seribu daya kan? Perjalanan kita ke tempat kerja dengan wudhu bukankah satu amalan yang bagus.Terasa lebih dekat disisiNya.

Menghafal kembali surah-surah lazim dan surah-surah amalan.
Kalau ada rakan-rakan yang sudah biasa biasa menghafal surah-surah lazim ini, cuba biasakan dengan terjemahannya pula, agar lebih menghayati untuk tujuan bacaan solat kita.Janganlah sentiasa membaca surah yang sama dalam baccan solat .Jom kita perbaiki diri yer..

Sebenarnya ada lagi cara perbaiki diri yang ingin saya kongsi bersama .Jika terlalu banyak, mahu terjadi satu kejutan budaya untuk yang baru mahu belajar mencuba cara-cara pelaksanaan di atas.Jadi kita buat dulu apa yang termampu dan cuba kekalkan ia supaya menjadi satu habit.Amin!

Nota:
Tertarik dengan persembahan bintang-bintang kecil yang bersiaran langsung sempena Maal Hijrah di RTM pagi tadi. Sejuk hati melihat kesan didikan keluarga mereka.Mampu mengingatkan kita supaya merenung sejenak berbanding menyokong mereka menyertai rancangan hiburan!

Saturday, December 4, 2010

Nostalgia Kelahiran

Semalam 3 Disember 2010.Hari kelahiran saya.Sedih.Gembira.Takut.Semua perasaan bercampur baur.Sedih kerana telah meninggalkan usia muda. Antara Ucapan yang menarik perhatian saya , "Selamat Hari Lahir Orang Muda.." Saya balas mesej tersebut " Terima kasih, tapi saya bukan muda lagi!, bahkan usia saya sudah melangkah satu angka!"..Saya terima mesej balas."Kenapa orang muda?terharu?"..Saya "speechless"!.Buat pertama kali saya "speechless". Perasaan saya? Takut! kerana amalan saya perlu bertambah seiring usia.

Saya membelek "free diary"."Free diary" ni merupakan catatan sejarah keluarga kami.Pada mulanya arwah ayah yang menulis.Terharu saya melihat doa-doa dan harapan darinya sejak saya dilahirkan.

Muka hadapan Free Diary Dari 1982
 Buku ini mula dicatat dari awal akad nikah ibunda tercinta dan arwah ayah.Kemudian sejarah kelahiran saya!


Terharu saya membacanya!



Belum cukup 7 tahun, saya dah masuk sekolah!Untung juga dilahirkan hujung tahun ni. Sebab ada rakan sebaya kita yang sudah berjalan, tapi kita baru sahaja dilahirkan, tapi bila bergaul di sekolah, tidak ada beza siapa yang harus berjalan dahulu dan merangkak kemudian.Di situ keuntungan saya bermula. Alhamdulilah..



Agak sedih, Arwah ada mengalami kemalangan dengan lori, dalam usia 12 tahun, saya memasuki sekolah menengah tanpa kehadiran ayah, menaiki bas lompat-lompat ke sekolah dan mula belajar berdikari. Rupanya Arwah ayah saya mencatat sesuatu atas kesedihannya kerana tidak menghantar saya ke sekolah menengah.



Nasihat dan harapan seorang ayah di catit lagi di dalam free diary!Arwah memang suka menulis. Insha Allah, saya sedang menunaikan segala harapan dan impiannya!

Dan akhirnya diary ini ditutup dengan tulisan saya.Kenapa?

-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-


Al-Fatihah!

Nota: Setiap yang hidup pasti merasa kematian!Hidup kita ini pendek sahaja.


Thursday, December 2, 2010

Bermulanya Temuduga Bakal Peguam Syarie


Alhamdulilah, setelah sekian lama ssya menunggu surat ini.Akhirnya tiba juga.Tapi ianya terlalu cepat dan kesuntukan masa, 4 Disember 2010, tak sempat saya  hendak mengkaji lebih lanjut  enakmen-enakmen negeri tercinta.Dalam masa empat hari saya kena mengulangkaji. Menghafal dalil-dalil berkaitan dan membaca enakmen dan akta-akta bukannya satu perkara yang mudah!

Saya kongsikan surat ini dulu ye..Seronok sangat!Harap-harap impian saya tercapai, sebab saya sayangkan ilmu yang dipelajari.Bak kata pepatah, Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tidak berbuah.


Kelayakan Peguam Syarie Setiap adalah berbeza mengikut negeri.Kerana setiap negeri ditadbir oleh  Majlis Ugama Kerajaan Negeri .Sebab itu jumlah mahar perkahwinan pun berlainan mengikut negeri kan?Saya  membuat perbandingan dengan mahar supaya sahabat -sahabat semua faham tentang siasah pentadbiran negeri.

Oh ya! Tidak lama saya mengetahui berita ini dan dalam debaran untuk membuat persediaan, saya menerima SMS yang mengatakan, sesi ini ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.Alhamdulillah, sempatlah juga saya nak menuntut ilmu dengan mana-mana peguam syariah yang senior sebagai panduan untuk berjaya.Amin...

Nota:
Masih bercita-cita untuk menjadi salah seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Pahang atau Jabatan Kehakiman Syariah Pahang. Amin! Syariah itu Asas Keadilan!Saya akan usahakan sedaya upaya saya...Insha Allah...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...